Saturday, 8 September 2012

Pemeriksaan kesihatan jemaah haji 2012M/ 1433H

Pada tahun ini saya menawarkan diri secara sukarela untuk melakukan pemeriksaan kesihatan jemaah haji. Ada sesuatu yang saya rasa dalam diri saya menyebabkan saya sangat teruja untuk melibatkan diri dengan aktiviti ini. Mungkin juga saya tercari-cari aktiviti yang berlainan dan kerja di luar kebiasaan saya yakni merawat pesakit di jabatan pesakit luar. Kadang kala duduk di klinik kesihatan menyebabkan kita rasa jemu dengan kerja-kerja harian kita yang hampir sama setiap hari. Tambahan pula saya sudah lama ditempatkan di jabatan pesakit luar tanpa dipusingkan ke unit lain yang ada di klinik saya seperti unit NCD (non-communicable disease/ penyakit tidak berjangkit i.e.merujuk klinik kencing manis/darah tinggi), unit KKIA (klinik ibu dan anak) dan unit sekolah. Skali skala jika dipusingkan ke unit lain, mungkin dpt memberi kepelbagaian dlm kerja harian saya. Cuma x nafikan kerja di klinik jauh lebih selesa kerana waktu kerja yg tetap dan tidak perlu bertugas atas panggilan.selain itu, antara aktiviti lain ialah menggantikan rakan setugas di klinik lain, siasatan kes "outbreak", berkursus, lawatan ke rumah2 kebajikan etc.

Perasaan saya sangat berbunga-bunga kerana diberi peluang untuk menjadi doktor pemeriksa untuk jemaah haji. Rasa gembira kerana dapat berjasa kepada bakal-bakal tetamu Allah. Dengar je perkataan "haji" saya sudah terasa satu aura yang luar biasa. Mungkin juga saya sudah lama menyimpan hajat untuk memijakkan kaki dan beribadah di tanah suci Mekah dan bumi anbiya, Madinah...umrah atau haji..Saya bercita-cita dan berhasrat utk menunaikan haji pada usia muda.Namun keadaan tidak mengizinkan...jadi dengan menjadi salah seorang pemeriksa, saya akan rasa lebih dekat ke arah cita-cita itu.


ini adalah sijil lantikan yang diberi kepada semua pegawai perubatan yang terlibat dengan pemeriksaan haji

Tempoh untuk pemeriksaan haji itu telah ditetapkan dalam mesyuarat pihak JKN dengan Lembaga Tabung Haji...secara rasmi tarikh yg telah ditetapkan ialah 2 julai 2012 hingga 13 Julai 2012...sebelum bulan ramadhan yang dijangkakan jatuh pada 21 Julai...i.e 2 minggu, tidak termasuk jumaat kerana waktu yang singkat dan tidak mahu menganggu solat jumaat. namun disebabkan jemaah yang ramai, kami menambahkan hari pemeriksaan pd 18 & 19 Julai (rabu, khamis). Pemeriksaan diadakan di Klinik Kesihatan Seremban 2 dan seramai 4 orang doktor termasuk saya telah ditugaskan untuk membuat pemeriksaan bagi jemaah di daerah Seremban. Pihak JKN juga telah melantik beberapa orang pakar untuk rujukan kami seperti pakar buah pinggang, pakar perubatan, pakar pembedahan, pakar psikiatri, pakar perbidanan dan sakit puan. KAmi juga dibantu oleh beberapa orang jururawat terlatih dan juruawat masyarakat.

Jemaah yang mendaftar akan melalui beberapa kaunter yang terdiri dari kaunter pendaftaran, kaunter tekanan darah, kaunter pengambilan darah, kaunter pemeriksaan doktor dan akhir sekali kaunter vaksinasi meningicoccal sekiranya mereka lulus pemeriksaan.

buku rekod pemeriksaan kesihatan jemaah haji

Sepanjang tempoh tersebut, pemeriksaan haji berjalan dengan lancar. Walaupun pada tahun sebelumnya, kami mendengar pelbagai kisah dan reaksi jemaah terutama jemaah yang tidak diluluskan atau jemaah yang perlu dirujuk kepada pakar. Rata2 jemaah meluahkan rasa tidak puas hati kerana mereka perlu dirujuk dan ini memakan masa. ramai yang menyangka mereka akan terus diluluskan. Ada yang berkata2 seperti "disbbkan doktor x luluskan saya, nanti doktor tanggung dosa saya sbb saya tak dpt pergi haji"...rakan saya yang terlibat dengan pemeriksaan haji tahun lepas bersungut melayan kerenah seperti itu. Mana kan tidak, kami diamanahkan untuk membuat pemeriksaan dengan berhati2 dan memastikan setiap jemaah memang sihat untuk ke Tanah Suci. Ia bukan satu kerja yang mudah..ia adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul.

Seperti yg diceritakan oleh rakan saya....tahun lepas, ramai jemaah yang mempunyai penyakit sedia ada seperti kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal. Mereka perlu hadir ke klinik beberapa kali untuk memastikan paras gula dan tekanan darah stabil dan terkawal sebelum boleh diluluskan.Rakan-rakan doktor akan adjust ubat pesakit agar penyakit mereka berada dalam kawalan yang baik. Jemaah yg terpaksa berulang alik ke klinik akan meluahkan rasa marah mereka kepada doktor2 yg terlibat.

Pada tahun ini, lain pula jadinya..ramai jemaah yang hadir merupakan jemaah yang sihat, tidak berpenyakit namun apabila diperiksa tekanan darah dan gula mereka tinggi. Kami terpaksa membuat rawatan ulangan untuk betul2 memastikan dan mengesahkan sama ada mereka memang mempunyai darah tinggi/ kencing manis atau pun tidak. Walau bagaimanapun, kami mendapat kerjasama yang baik dari jemaah2 yang datang. Bagi jemaah yg berpenyakit, mereka sudah siap membawa surat dari doktor yg merawat mereka menyatakan kestabilan tahap penyakit mereka. Ini memudahkan tugas kami.

Salah seorang jemaah yang saya periksa, pakcik ini menghidap darah tinggi dan kencing manis. beliau membawa surat dari KPJ. Menurut surat tersebut, ia mengatakan bahawa bacaan creatinine (buah pinggang) adalah tinggi. Lalu tergerak dalam hati untuk saya mengulangi bacaan creatinine beliau dan didapati bacaan tersebut meningkat tinggi, hampir2 tahap akhir penyakit buah pinggang dan berkemungkinan memerlukan dialisis. Saya merujuk kes saya kepada pakar perubatan keluarga dan mendapat rujukan ke pakar buah pinggang (nephrology physician). Pakar mencadangkan agar tidak meluluskan pakcik ini kerana risiko penyakit akan bertambah teruk di sana terutama sekiranya pakcik tersebut mengalami dehidrasi. Berat mata memandang, berat lagi mulut saya nak memberi khabar tersebut. Bukan senang nak terangkan kepada jemaah kita bahawa dia tidak diluluskan utk ke tanah suci. NAmun setelah diterangkan dengan baik, pakcik tersebut redha.Beliau sangat memahami keadaan penyakit beliau bahkan beliau sudah mengagaknya. Saya bersyukur kerana diberi kemudahan untuk menangani isu buah pinggang pakcik ini dengan baik. Namun, tidak dpt dinafikan bahawa berat juga hati untuk menandakan tanda merah pada buku kesihatan pakcik tersebut. (N.B. pesakit dialisis tidak boleh diluluskan atas sebab penyakit kronik yang teruk)

Pada hari terakhir pemeriksaan rasmi kami, saya didatangi seorang jemaah (suami) dalam lingkungan usia awal 50-an. Beliau sihat2 sahaja..tapi di bahagian vaksinasi, di situ sudah pon ditandatangani oleh seorang doktor homeopati. Rupa2nya beliau tidak mengambil suntikan meningicoccal sebaliknya beliau memakan ubat komplimentari. Disbbkan syarat Arab Saudi telah menetapkan setiap jemaah perlu disuntik dengan vaksin meningicoccal, jemaah ini dinasihati agar mengambil vaksinasi dan beliau setuju. Malang sekali, isteri beliau yang diperiksa oleh rakan saya tidak bersetuju. Beliau mengatakan beliau alah kepada semua perubatan moden yang ada dan pernah dimasuki ICU disbbkan tindak balas tersebut. Apabila kami meminta laporan perubatan tersebut sebagai bukti, beliau enggan bekerjasama. Kami dimarahi beliau kerana kami tidak menerima rawatan homeopati yang diambilnya. Keadaan menjadi tegang, habis jururawat, doktor, pegawai Tabung Haji dimarahinya. Saya cuba menenangkan beliau secara diplomasi dan berkata pihak kami akan cuba berusaha untuk menyelesaikan masalah beliau, namun beliau perlu sedar, syarat ini ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi dan bukannya Tabung Haji sendiri. Saya tidak pasti apa yang jadi pada si isteri tersebut kerana beliau kata beliau ingin mengadu dengan pihak atasan. Yang pastinya, suami beliau dengan sukarela mengambil suntikan tersebut. Saya terdengar si suami berkata kpd isterinya, "Kalau macam tu, saya pergi sorang je lah." (N.B. Semua jemaah yang lulus wajib mendapat vaksinasi meninggicoccal)

Disebabkan masih ramai jemaah yang perlu diberi pemeriksaan ulangan dan terdapat masih segelintir jemaah baru yang perlu diperiksa (jemaah tambahan), kami membuat keputusan untuk memanjangkan tempoh pemeriksaan haji secara tidak rasmi dan menjangkau bulan ramadhan dan selepas raya.Saya diberi amanah untuk meneruskan pemeriksaan haji tersebut di klinik saya sendiri dan saya memilih untuk diadakan setiap hari khamis bermula 26 Julai hingga 16 Ogos. Sepatutnya saya hanya "cover" daerah Seremban sahaja, namun oleh kerana daerah lain tidak lagi mengadakan pemeriksaan haji di luar tempoh yang ditetapkan, ramai jemaah dari daerah lain datang ke klinik saya untuk pemeriksaan haji. Walaupun ini bukan sebahagian tugas yang telah ditetapkan, saya tidak dapat menolak kerana mereka datang dari jauh dan memerlukan pemeriksaan ini. Nak pergi private kan mahal. Jadi jemaah yang saya periksa bertambah dari yang telah dijadualkan.Saya pikir, takpelah, buat amal kebajikan membantu jemaah haji kita.

Dalam tempoh itu, terdapat kes TB yang mana jemaah tersebut baru sangat dimulakan rawatan. Saya tidak meluluskan beliau dan menulis surat kepada Tabung Haji untuk menangguhkan pemergian beliau kerana jemaah ini perlu melengkapkan kesemua dos rawatan beliau dan sehingga beliau dijamin bebas dari TB. Pakcik ini merayu2 kepada saya supaya diluluskan namun saya perlu tegas, bukan saya tidak mahu membantu tetapi saya juga mempunyai tanggungjawab kepada jemaah yang lain, sekiranya pakcik ini "lepas" dia boleh mengjangkiti jemaah lain di dalam kapal terbang dan di tanah suc nanti. Bayangkan di Tanah Suci keadaan sangat padat dengan manusia, peluang untuk dijangkiti penyakit sangat tinggi.(N.B penyakit TB adalah penyakit berjangkit yg berbahaya tapi boleh dirawat. Pesakit perlu bebas dari TB sebelum dibenarkan untuk menunaikan haji)

Ada satu lagi kes, jemaah wanita lingkungan umur lewat40an datang dengan haid yg tidak hadir lebih dari sebulan. Apabila saya menyatakan saya perlu membuat ujian mengandung, beliau amat terkejut kerana beliau yakin tidak mengandung lagi dalam usia begitu, mungkin tanda2 menopos katanya. Namun saya perlu ada bukti rekod lalu saya meneruskan niat untuk membuat ujian mengandung dan ianya didapati positif. Jemaah tersebut amat terkejut kerana benar2 tidak menjangkakannya. Maka saya terpaksa tidak meluluskan beliau. Walau bagaimanpun, selang dua minggu beliau datang kembali membawa surat dari doktor mengatakan beliau mengalami keguguran. Saya mengulangi pemeriksaan dan didapati negatif. Saya berfikir sejenak, harapnya belliau tidak "sengaja" menggugurkan kandungan kerana semata2 inging menunaikan ibadah haji. (N.B wanita yang mengandung perlu mengangguhkan hasrat menunaikan ibadah haji)

30 Ogos 2012 - hari terakhir saya membuat pemeriksaan haji. berasa puas hati dapat berbakti kepada bakal2 tetamu Allah.

Setiap jemaah yang saya periksa, saya akan memaklumkan kepada mereka agar mendoakan untuk saya agar saya juga dapat pergi menunaikan ibadah haji dalam jangka terdekat ini. Salah seorang makcik menghulurkan buku notanya dan menyuruh saya menulis doa2 yang saya ingin dia smpaikan di sana nanti...dalam nota tersebut, antaranya saya meluahkan hasrat dan dipanjatkan doa supaya dapat menjadi tetamu Allah juga nanti.

KEPADA SEMUA JEMAAH HAJI, SELAMAT BERIBADAH DAN MOGA KALIAN DIKURNIAKAN HAJI MABRUR



p/s - datuk saya meninggal dunia pada 11 Julai 2012...menambahkan kesedihan keluarga kami kerana kami sudah kehilangan orang2 utama di kampung. Setahun lalu, nenek dan makcik saya meninggal,, sekarang datuk pula. Rumah kampung menjadi sunyi kerana mereka inilah yang tinggal di situ dan meraikannya sebelum ini.




No comments:

Post a Comment