Wednesday, 8 January 2014

menjelaskan kpd anak tentang proses penciptaan manusia

http://hisham79.blogspot.com/2014/02/air-mani-sperma-dan-zina-mejelaskan.html

AIR MANI, SPERMA DAN ZINA: MEJELASKAN KEPADA ANAK TENTANG PROSES PENCIPTAAN MANUSIA
“Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur-angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.”


“Dalam ayat ini Allah sebut kepada semua manusia, bahawa jika ada yang tak percaya kepada hari kiamat, tak percaya bahawa selepas mati dan ditanam di dalam kubur akan dibangkitkan semula, kemudian dihimpunkan di Mahsyar untuk dihisab, melalui titian Sirat dan kemudian ke syurga atau ke neraka, maka lihatlah kepada proses bagaimana manusia dicipta.”

Pagi ini, saya bercerita kepada anak-anak tentang makna ayat-ayat awal dari surah al Hajj selepas sesi membaca Al Quran bersama-sama sebelum saya bertolak ke Universiti.

Walaupun sesi begini tidak hari-hari saya lakukan kerana fokus pendidikan Al Quran kepada Humaira’ dan Khadijah buat masa ini masih lagi berkenaan memperbetulkan tajwid, panjang pendek dan makhraj huruf, namun bercerita tentang makna sekali sekala tidak ditinggalkan agar sedikit sebanyak mereka tahu makna dan pengajaran praktikal di sebalik ayat-ayat yang dibaca.

Tidaklah saya menceritakan berkenaan dengan asbab nuzul dan huraian ahli tafsir dari kitab-kitab tafsir yang lebih sesuai untuk mereka yang lebih dewasa, terutamanya dalam membicarakan ayat-ayat mutasyabihat, tetapi cerita saya lebih kepada ayat-ayat atau kisah-kisah yang jelas maksudnya untuk diambil pengajaran.

Harapan saya, moga cerita-cerita dari Al Quran ini menjadi asas untuk mereka menjadi generasi yang bukan hanya pandai membaca dan menghafaz sahaja, tetapi melaksanakan Al Quran di dalam hidup sepenuhnya.

“Allah sebut, bahawa manusia, Allah jadikan daripada tanah, kemudian dari air mani….” Saya menyambung sebelum terhenti pada perkataan ‘air mani’.

Seperti yang saya jangka, sebelum sempat saya menyambung ayat yang seterusnya, Khadijah dan Humaira’ mengangkat tangan dan serentak bertanya.

“Air mani itu apa ayah? Macamana Allah ciptakan kita dari air mani?”


Saya tersenyum mendengar pertanyaan jujur anak-anak, bukan mudah untuk menjelaskan isu ini, tambahan pula dengan ayat yang mudah difahami oleh kanak-kanak. Berfikir-fikir, apakah tema dan pengajaran praktikal yang paling sesuai untuk mereka di sebalik ayat ini.

“Hmmm….begini, air mani ini adalah air yang berada di dalam badan orang lelaki dan di dalam air mani ini ada makhluk yang dinamakan sperma. Sperma ini rupanya seperti berudu, kecil dan halus, tak boleh kita nampak kecuali kalau kita gunakan mikroskop.”

“Sperma ini akan dimasukkan ke dalam tubuh orang perempuan oleh orang lelaki dan apabila ia bercantum dengan telur bernama ovum yang berada di dalam tubuh orang perempuan, maka dari situ akan bermula proses penciptaan manusia yang menakjubkan.”

“Errr…ayah, macamana nak masukkan sperma dalam badan orang perempuan?” Tanya Khadijah dengan wajah penuh persoalan sebelum sempat saya menyambung cerita.

Soalan-soalan yang datang semakin kompleks, dan ‘menakutkan’. Saya menyusun ayat sebaik mungkin untuk menjawab.

“Sperma ini akan dimasukkan oleh orang lelaki ke dalam tubuh orang perempuan melalui satu proses bila orang lelaki dan perempuan tinggal dan tidur bersama, dan paaaaaling penting dalam Islam, lelaki dan perempuan wajib berkahwin untuk sperma ini dimasukkan dalam tubuh orang perempuan.”

Saya berhenti seketika, tidak ingin pergi lebih jauh dengan menceritakan fungsi alat kelamin pula, tapi ada sesuatu yang lebih penting yang perlu dijelaskan.

“Allah sangat marah kalau ianya berlaku sebelum berkahwin, dan ia adalah dosa yang saaaaaangat besar. Dosa ini disebut sebagai zina.”

“Zina berlaku apabila orang lelaki memasukkan spermanya ke dalam tubuh orang perempuan sebelum dia berkahwin….,” berkerut-kerut saya menjelaskan, terhenti-henti dan kemudian menyambung lagi.

“Zina ini boleh berlaku bila orang lelaki bergaul dengan orang perempuan tanpa ada batas, orang perempuan tidak menjaga aurat, pakai seksi-seksi di luar rumah dan orang lelaki pula tidak menjaga pandangannya. Dalam Islam, orang lelaki dan orang perempuan yang bukan mahram, yang bukan adik beradik tidak boleh bergaul terlalu rapat, bahkan sesama adik beradik pun tidak boleh terlalu rapat sebenarnya, sebab itu orang perempuan kena menjaga aurat, dan antara adik beradik lelaki dan perempuan, perlu dipisahkan tempat tidur bila dah besar.”

Anak-anak mengangguk-angguk, entah faham entah tidak. Tapi apa yang pasti, masa akan datang, saya akan menjelaskan konsep ini lagi hingga mereka benar-benar faham akan peri pentingnya untuk menjaga perkara-perkara yang membawa kepada zina.

Dalam situasi masyarakat hari ini, berleluasanya zina di tengah masyarakat dalam kadar yang amat menakutkan. Di desa dan di bandar, sama sahaja kedasyatannya. Entah di mana silapnya, tapi institusi keluarga tidak lagi menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak berlindung dari pintu-pintu yang boleh menolak mereka kepada zina.

Akses kepada kelucahan di Internet yang amat mudah, rancangan-rancangan televisyen, majalah-majalah separa lucah yang beredar di pasaran serta jahilnya ibu bapa dalam mendidik anak-anak mungkin adalah antara faktor yang menyumbang kepada tragedi zina yang berleluasa di negara kita. Hampir setiap hari, ada sahaja kes-kes anak-anak luar nikah yang menerima nasib yang pelbagai, ada yang diletakkan di depan pintu surau, ada yang dicampak ke sungai, ada yang ditinggalkan di tandas, yang lebih bernasib baik, mungkin ibunya terpaksa juga ke hospital dan anak-anak itu dapat dilahirkan dengan selamat.

Anak-anak perlu dijelaskan tentang dosa zina sejak awal usia, perlu dijelaskan juga kepada mereka tentang perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina seperti pergaulan bebas, pendedahan aurat, dan bahaya menonton aksi-aksi kelucahan yang berleluasa di televisyen.

Sifat taqwa perlu dibina awal-awal lagi sebagai benteng, bagi anak perempuan, sifat malu adalah perisai yang paling utama.

“Ok, kita kembali kepada proses penciptaan manusia tadi ye, tentang zina ni nanti ayah ceritakan lebih lanjut nanti. Apa yang penting, kita kena tahu bahawa zina atau perkara-perkara yang membawa kepada zina adalah dosa-dosa yang dilarang oleh Allah. Jangan sesekali kita melakukan perkara yang boleh membawa kepada zina seperti memakai pakaian yang tidak menutup aurat, menonton rancangan yang tak soleh, seksi-seksi dan macam-macam lagi.”

Saya mengulang isi utama perbincangan hari ini dan kemudian menyambung perbicaraan tentang proses penciptaan manusia.

“Bila sperma bercantum dengan telur di dalam tubuh ibu, dari situ, akan mula tercipta ‘baby’ kecil dalam tubuh orang perempuan, macam apa yang ada dalam tubuh ibu. Mula-mula dalam rupa bentuk yang amat kecil, kemudian terciptanya tangan, kaki, mata, kepala, otak dan seterusnya bila dah cukup 9 bulan dalam perut ibu, baby ini akan keluar sebagai ‘baby’ yang sempurna.”

“Nak tak ayah tunjukkan satu video di Youtube tentang proses penciptaan manusia?” Tanya saya kepada anak-anak, merujuk kepada satu video yang amat menarik dan begitu terperinci dalam menjelaskan proses penciptaan manusia yang menakjubkan di dalam rahim.

“Nak-nak!” serentak anak-anak menjawab dengan penuh keterujaan.

“Haa, kalau nak, harini kena ‘behave’ kat rumah, kena dengar cakap ibu dan nanti bila ayah balik, kita tengok sama-sama okay?” Janji saya kepada anak-anak.

“Alaaaaa…..”

Saya tersenyum, menyalami mereka dan terus bergerak keluar dengan pantas dari rumah sebelum diserang dengan lebih banyak persoalan. Moga-moga ada kebaikan dari apa yang diajarkan kepada mereka hari ini, moga bertambah iman dalam hati dan lebih dekat mereka dengan Al Quran, Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment