Pada minggu lepas, arena perubatan negara dikejutkan dengan kes kematian seorang ibu muda di Selangor kesan komplikasi ketika melahirkan anak di rumahnya sendiri, dengan hanya ditemani seorang "jurulatih" tidak bertauliah tanpa sebarang pengawasan dan bantuan oleh kakitangan perubatan.

Difahamkan, ibu muda tersebut terpengaruh dengan jurulatih berkenaan yang berasal dari sebuah gerakan terkini di negara kita yang giat mempromosi kelahiran secara alami dan semulajadi termasuklah menolak campurtangan perubatan dan rawatan moden serta keterlibatan pihak hospital.

Gerakan yang tertumpu di sekitar ibu kota dan utara tanah air ini beroperasi dengan mengadakan kelas-kelas yang terbuka kepada ibu-ibu mengandung atau pasangan yang berhasrat mendapatkan anak.

Modus operandinya, mereka menggunakan ayat-ayat berbentuk Islamik untuk mempengaruhi dan meyakinkan ibu-ibu ini bahawasanya proses kelahiran merupakan sesuatu yang fitrah, tidak memerlukan sebarang keterlibatan pihak perubatan, tidak perlu menghadiri pemeriksaan di hospital dan klinik, serta proses melahirkan anak boleh dilakukan di mana-mana sahaja termasuklah di rumah walaupun tanpa kehadiran petugas kesihatan.

Di kala WHO (World Health Organization) menjadikan kadar kematian ibu mengandung (maternal mortality rate) sebagai antara penanda aras kemajuan sesebuah negara, masih ada rupanya sesetengah individu yang menginginkan agar kita kembali ke situasi puluhan tahun lalu, di mana kematian ibu ketika melahirkan anak merupakan satu kebiasaan tatkala infrastruktur kesihatan terhad pada zaman tersebut.

Statistik menunjukkan pengurangan maternal mortality rate dari 59 kes per 100,000 kelahiran pada tahun 1990, kepada hanya 29 kes per 100,000 kelahiran pada tahun 2010.

Keberkesanan program pengurusan kesihatan ibu mengandung yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia menjadi contoh dan cetakan biru kepada negara-negara membangun dan kelas ketiga yang lain.

Proses kelahiran bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, meskipun alami dan fitrah, ianya datang bersama dengan seribu satu kemungkinan dan komplikasi buruk termasuklah melibatkan kehilangan nyawa ibu atau anak dalam kandungan.

Dan itulah yang terjadi pada minggu lepas, apabila seorang ibu disyaki mengalami serangan eklampsia (sawan) dan pendarahan tidak berhenti akibat uri yang tidak dikeluarkan dari rahim, atas saranan jurulatih dari gerakan yang dimaksudkan.

Menurut gerakan berkenaan, uri perlu dibiarkan keluar secara sendirinya (fitrah), namun umum dalam bidang perubatan mengetahui, uri yang ditinggalkan lama didalam rahim ibu akan menyebabkan pendarahan yang tidak akan berhenti.

Akibat terlalu meletakkan kepercayaan kepada jurulatih berkenaan, meskipun beliau langsung tidak memiliki tauliah dan ijazah apatah lagi pengalaman dalam bidang perubatan, sang ibu membayar harga yang sangat mahal berupa nyawa dan mengakibatkan anak yang baru dilahirkan, terus menjadi yatim.

Yang lebih mengecewakan lagi, jurulatih berkenaan hanya menganggap tragedi yang menimpa ibu muda ini hanya sebagai sebuah "kematian yang fitrah", tanpa ada sebarang rasa bersalah malah kini kian giat menyambung mempromosi kelas-kelas latihannya.

Beliau juga tidak boleh didakwa sebagai "kecuaian" bukan berdaftar sebagai pengamal perubatan, serta berselindung di sebalik "keizinan" yang diberikan oleh pasangan malang tersebut.

Kes seperti ini kemungkinan besar boleh dielakkan sekiranya ibu tersebut memilih untuk melahirkan anak di hospital, iaitu tempat yang terkawal persekitarannya, dipenuhi dengan kakitangan berpengalaman dan bertauliah, serta yang terpenting, mempunyai akses kepada tabung darah, bilik bedah, pakar kanak-kanak sekiranya berlaku keadaan kecemasan atau komplikasi yang berat.

Walaupun kebanyakan hospital kerajaan di negara kita tidak mampu menawarkan perkhidmatan setanding dengan kelahiran di rumah, seperti sofa lembut atau televisyen di setiap katil, namun kita dilengkapi dengan pelbagai macam peralatan perubatan yang penting bagi menjamin keselamatan nyawa setiap pesakit di hospital.

Difahamkan, ini merupakan kali kedua dalam tahun ini, kematian ibu mengandung ketika melahirkan anak akibat dari gerakan tidak bertauliah dan tidak dinaungi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini.

Pihak berwajib termasuklah polis dan pengamal undang-undang digesa agar mengambil tindakan keras ke atas individu terbabit yang bertanggungjawab secara langsung menyebabkan kematian ibu tersebut, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia bertanggungjawab memberi pengumuman dan amaran kepada masyarakat awam dan orang ramai akan bahaya gerakan sebegini, serta mewajibkan semua pihak yang ingin turut serta dalam pengurusan kehamilan dan kelahiran ibu mengandung agar mempunyai lesen/perakuan amalan bagi membuktikan mereka benar-benar bertauliah.

Hal ini penting bagi memastikan kejadian malang seperti ini tidak lagi berlaku di masa akan datang.

Manakala bagi orang awam khususnya ibu-ibu mengandung yang bakal melahirkan anak, persoalan yang perlu anda fikirkan apabila berbuat keputusan mengenai cara kelahiran anak anda adalah, apa sebenarnya yang anda mahukan?

Adakah anda mahukan keselesaan, ketenangan dan keindahan saat bersalin namun dibayar dengan harga risiko nyawa diri dan anak dalam kandungan, atau anda mahukan kelahiran yang selamat bagi kedua-dua diri anda dan anak anda seterusnya mengecapi masa depan yang indah buat kalian berdua?

Kerana yang menjadi taruhan atas pilihan anda, bukan sekadar nyawa anda, malah nyawa anak yang dikandung sembilan bulan oleh anda. Jangan letakkan ia ke tangan sebarangan orang.

- DOKTOR MAHU ANDA SELAMAT.