Sunday, 29 December 2013

Memastikan Kehamilan dan Proses Kelahiran Selamat (Bahagian II)

PS : Artikel ini ditulis dalam tiga bahagian. Ini adalah bahagian kedua. Mohon sangat ketiga-tiganya dibaca bersama. Elakkan dari membaca separuh jalan atau berkongsi bahagian yang tertentu sahaja. Diharap artikel ini dapat memberi maklumat tambahan berharga bagi isu berkaitan.

MAKING PREGNANCY SAFER – SAFE MOTHERHOOD INITIATIVES


Bahagian II : Kejayaan sebuah proses kelahiran

Di hujung suatu pengalaman kehamilan, menunggu satu lagi peristiwa yang amat mendebarkan setiap wanita yang ditakdirkan Allah SWT untuk mengandungkan zuriat keturunannya. Pelbagai soalan yang menerpa ke dalam benak fikirannya. Nampak tenang dan bersahaja di luaran, namun hati dan perasaan di dalam, hanya Allah SWT yang tahu! Tanpa dipinta, rakan sekeliling dan sahabat taulan berkongsi pengalaman masing-masing – ada yang positif, ada yang negatif, ada yang suka ada yang duka. Tempoh sembilan bulan bukan tempoh yang sekejap – cukup lama untuk seorang bakal ibu membuat persediaan fizikal, mental, emosi dan spiritual. Masakan tidak, di hujung kehamilan mungkin ada kehidupan baru yang bermula, namun tidak juga mustahil ada nyawa yang melayang. Seorang Profesor O&G saya pernah mengingatkan – bahawa setiap wanita yang hamil ibarat duduk di atas bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa!

Dalam buku teks perbidanan, sering ditekankan mengenai tiga faktor yang bermula dengan huruf `P’ yang akan menentukan kelancaran proses kelahiran ( Three Ps that govern labour)  :
  1. Power ( Kuasa) – merujuk kepada kekerapan dan kekuatan pengecutan atau kontraksi otot rahim. Lebih kuat dan kerap, lebih cepatlah proses kelahiran bayi.
  2. Passenger ( Penumpang) – saiz dan kedudukan janin akan mempengaruhi proses kelahiran. Janin bersaiz kecil lebih cepat kelahirannya jika dibandingkan dengan janin yang besar (macrosomia). Kedudukan kepala janin yang menunduk lebih mudah dilahirkan dari yang mendongak.
  3. Passage ( Laluan) – struktur tulang punggung atau pelvis yang menjadi laluan untuk janin keluar dari rahim ibu. Struktur tulang pelvis yang kecil akan menghalang proses kelahiran normal janin, yang akan menyebabkan kelahiran terhalang  (obstructed labour).
Seorang lagi professor saya menambahkan dua lagi faktor penting yang mempengaruhi proses kelahiran – juga bermula dengan huruf `P’.

4.   Practitioner ( Pengamal) – individu yang mengendalikan dan membantu proses kelahiran. Seorang yang mempunyai pengetahuan, latihan, pengalaman serta kelayakan dalam bidang kebidanan mampu mengendalikan proses kelahiran dengan baik, disamping mengenalpasti komplikasi dan masalah di peringkat awal serta mengambil langkah lanjut yang sewajarnya.
 5.  Psychological preparation (Persediaan psikologi) – ibu yang mempunyai persediaan psikologikal yang baik serta berpengalaman lebih tenang mengawal ketakutan dan yakin menghadapi kesakitan dan proses kelahiran. Pembukaan pintu rahim, teknik pernafasan dan kontraksi otot rahim akan lebih lancar dan terkoordinasi apabila siibu mampu mengawal emosi dan lebih bekerjasama dengan arahan yang diberikan.


Sebagai seorang yang pernah empat kali melalui proses kehamilan dan kelahiran, saya yakin dua faktor tambahan ini amat penting peranannya. Persediaan mental, psikologi dan spiritual perlu dimulakan semenjak dari  awal kehamilan lagi, disamping pemeriksaan fizikal yang diadakan setiap bulan. Hubungan dengan Allah SWT yang menjadi tempat penggantungan mutlak amat perlu diperteguhkan dengan meningkatkan amalan ibadah khusus dan sunat, membaca dan mentadabbur ayat-ayat Al-Quran  saban hari, memanjatkan doa-doa yang matsur, memperbanyakkan sedekah dan infaq serta sentiasa memuhasabah diri, memperbaiki akhlak dan menguatkan keazaman untuk menjadi ibu yang solehah kepada zuriat yang soleh dan musleh. Sokongan suami yang prihatin dan penyayang begitu kritikal dalam memberi semangat kepada seorang wanita yang sedang berjihad melalui kehamilan dan kelahiran. Begitu jua dokongan dari ibu bapa kandung dan mertua, adik beradik, ipar duai serta rakan sekerja – mampu meningkatkan keyakinan dan keazaman siibu.

Siapa yang akan membantu dan di mana tempat hendak melahirkan bayi juga amatlah penting untuk ditentukan oleh setiap wanita hamil. Setiap ibu hamil mahukan kesudahan yang selamat dan membahagiakan – seorang bayi comel yang sihat walafiat, disamping ibu yang juga sejahtera untuk menyambung peranan keibuannya selepas berhempas pulas bersabung nyawa. Tidak keterlaluan sekiranya mereka mengharapkan layanan yang baik, penuh perikemanusiaan dan belas kasihan  semasa detik cemas melahirkan, dari kalangan mereka yang dikenali dan mengenalinya. Malangnya, perkhidmatan di hospital dan klinik hari ini semakin rigid dan kaku. Dengan kecanggihan teknologi yang dikatakan mampu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, sentuhan dan komunikasi interpersonal antara pesakit dengan pengamal perubatan semakin luntur terhakis. Hari ini, kita berhadapan dengan situasi meruncing, di mana ramai pesakit yang semakin curiga (sceptical) dan kurang yakin dengan setiap tindakan yang diambil atas nama rawatan dan pengubatan oleh doktornya, sementara para doktor pula semakin bimbang dan sentiasa rasa terancam oleh kemungkinan pesakitnya akan mengheretnya ke muka keadilan atas tuduhan kecuaian dan ketidakcekapan (negligence & incompetence).

Tidak menghairan sama sekali apabila hari ini, ramai ibu muda yang baru sekali dua melalui kehamilan memilih pendekatan alternatif yang dirasakan lebih memenuhi keperluannya. Tumbuhlah bagai cendawan selepas hujan – golongan yang membuat promosi mengenai kelahiran semulajadi di rumah (natural home birth), kelahiran dalam air (waterbirth), kelahiran lotus (lotus birth) dan pendidik kelahiran (childbirth educator or doula). Sememangnya pesakit mempunyai autonomi untuk memilih siapa yang akan membantu proses kelahiran bayinya, juga di mana dia hendak melahirkan. Namun tiada yang lebih penting dan utama  dari ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada proses kelahiran yang selamat dan sejahtera.

Kita tidak harus menunggu satu lagi kematian ibu yang berlaku di kalangan mereka yang memilih mengambil risiko sendiri melalui proses kelahiran tanpa empat tonggak insiatif keibuan selamat untuk menyedarkan kita agar mengambil langkah penambahbaikan yang drastik, efektif dan komprehensif.

Bersambung dengan bahagian III (akhir)

No comments:

Post a Comment