https://www.facebook.com/notes/harlina-halizah-siraj/memastikan-kehamilan-proses-kelahiran-lebih-selamat-inisiatif-keibuan-selamat-ba/708216999197859
December 28, 2013 at 10:52pm
MAKING PREGNANCY SAFER – SAFE MOTHERHOOD INITIATIVES
Bahagian I : Dari mana kita bermula?
Bonda saya Hjh Siti Ramlah Anuar selamat melahirkan kelapan-lapan anaknya di rumah dengan izin Allah SWT. Bermula dari anak sulong pada tahun 1952 hinggalah kepada anak bongsu pada tahun 1976. Saya anak yang keenam (1966) – yang pertama lahir di Sungai Besar Selangor selepas almarhum ayahanda berpindah ke situ dari Kelang pada tahun 1963. Bidan kampung yang menyambut saya bernama Makcik Ruminah. Dia jugalah yang menyambut kelahiran dua adik saya selepas itu. Saya ada di rumah ketika pagi Ahad 10 Ramadhan semasa Makcik Ruminah membantu bonda melahirkan adik bongsu saya pada tahun 1976. Amat mencemaskan suasana pagi itu – ayahanda tak putus-putus solat hajat mendoakan kesejahteraan bonda & adik yang bakal lahir. Tepat jam 10.20 pagi, terdengar suara teriakan tangisan pertama bayi comel lelaki memecah keheningan pagi yang berkah itu. Alhamdulillah, semuanya selamat tanpa sebarang komplikasi.
Disebalik kegembiraan menyambut kehadiran adik comel saya itu, terdetik di dalam hati kecil saya sebagai seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun ketika itu, saya berazam bila saya melahirkan anak nanti, saya mahu berada di hospital! Entah mengapa saya menanam keazaman tersebut……mungkin kerana saya memang mahu jadi seorang doktor semenjak berumur 5 tahun lagi! Ketika itu, saya tidak langsung menyedari bahawa kadar kematian ibu hamil dan melahirkan (Maternal Mortality Ratio –MMR) di Malaysia sedang mengalami tren menurun yang signifikan – 170 kematian setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun 1966 mencecah kepada 70 kematian setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun 1976, sepuluh tahun kemudian.
Apabila giliran saya pula menjadi seorang ibu, kadar kematian ibu (MMR) di Malaysia sudah mencecah statistik yang rendah dan amat membanggakan( Jadual 1 ). Saya melahirkan keempat-empat cahayamata saya di hospital – Syifa Hana di Hospital Teluk Intan (1993), almarhum Sofwan Hanif (1995) & Anwar Syamil (1997) lahir di Hospital Bersalin KL dan Deena Sofiyya (2002) lahir di PPUKM. Tentu tidak langsung menghairankan memandangkan saya sendiri seorang doktor yang mengkhusus dalam kepakaran Perbidanan & Sakit Puan.
Kadar kematian ibu di Malaysia ketika tempoh masa tersebut berada dalam lingkungan 30 – 40 kematian ibu setiap 100,000 kelahiran hidup, satu indikator kejayaan usaha Malaysia terlibat sama dalam satu inisiatif bersepadu di peringkat antarabangsa yang dinamakan Safe Motherhood Initiatives yang diperkenalkan pada tahun 1987. Inisiatif ini menggariskan empat tunggak utama untuk menjadikan kehamilan dan kelahiran lebih selamat (rujuk Rajah A).
- Perancangan Keluarga ( setiap kehamilan dirancang, direncana dan dikehendaki)
- Jagaan antenatal ( pemeriksaan kesihatan berkala semasa kehamilan)
- Kelahiran selamat dan bersih ( proses kelahiran dipantau dengan partogram, pengendalian aktif bagi tahap ketiga kelahiran serta persekitaran yang hygenic)
- Jagaan obstetrik (kebidanan) yang asas ( pengendalian oleh pasukan yang terlatih menghadapi komplikasi kehamilan dan kelahiran, ubat-ubatan, infrastruktur seperti bekalan elektrik, kenderaan serta hubungan telekomunikasi dan kemudahan kesihatan yang lengkap – dewan bedah untuk pembedahan caesarean, tabung darah untuk bekalan darah yang segera dan unit jagaan bayi baru lahir untuk resusitasi bayi)
Alhamdulillah, hari ini, MMR Malaysia sudah mencecah 27 kematian ibu setiap 100,000 kelahiran hidup. Kita masih perlu menurunkan MMR kepada kadar yang lebih rendah – sebagaimana yang ditetapkan oleh Sasaran Pembangunan Millennium ( Millennium Developmental Goal – MDG) kelima. Antara kejayaan utama Malaysia menurunkan MMR adalah apabila kelahiran selamat (safe delivery) yang ditakrifkan sebagai kelahiran yang dikendalikan oleh individu terlatih (skilled birth attendants) dapat ditingkatkan dari kurang 55% pada tahun 50an kepada peratusan 98.5% hari ini. Satu lagi faktor kejayaan adalah keutamaan yang diberikan oleh sistem kesihatan di Malaysia kepada kes kematian ibu. Setiap satu kematian ibu mesti disiasat secara mendalam di setiap peringkat daerah, negeri dan pusat . Laporan lengkap mesti disediakan untuk dibentangkan di peringkat daerah, negeri dan pusat serta dimasukkan ke dalam Confidential Enquiry into Maternal Deaths (CEMD) yang dilaporkan secara bertulis setiap tiga tahun. Tujuan utama adalah untuk mengenalpasti faktor jagaan substandard yang perlu dibaiki di setiap peringkat.
Kejayaan Malaysia menurunkan MMR ke tahap yang rendah menjadi buah mulut dan contoh teladan di peringkat WHO dan dunia. Tun Dr Siti Hasmah dengan kapasitinya sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia ketika itu, sering diundang ke persidangan dunia untuk berkongsi pengalaman Malaysia melaksanakan insiatif ini. Malahan semasa Dr Har belajar di peringkat sarjana muda perubatan, kami sering diingatkan bahawa tahap jagaan kesihatan ibu dan anak (Maternal Child Health - MCH) adalah antara yang terbaik di rantau ini.
Tidak hairanlah sekiranya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius dua kes kematian ibu di rumah yang berlaku baru-baru ini. Sebenarnya begitu banyak usaha dan payah jerih yang dikorbankan untuk mencapai tahap kesihatan ibu yang sedia ada hari ini. Mungkin kerana begitu jarang sekali kedengaran wanita hamil hari ini yang berhadapan dengan risiko kematian (walaupun masih tetap ada berlaku pada kadar yang rendah ), masyarakat umum mula merasakan proses kehamilan dan kelahiran sebagai sesuatu yang natural dan biasa-biasa sahaja. Sehingga ramai bakal ibu serta ibu muda yang kurang menyedari betapa proses kehamilan dan kelahiran tidak seharusnya dipandang remeh dan ringan. Alangkah malangnya bila beberapa nyawa ibu harus melayang untuk membangunkan kita dari lena yang panjang (complacency) – untuk kembali meletakkan kehamilan dan kelahiran di tempat keutamaan yang sepatutnya.
Bersambung di bahagian II...
No comments:
Post a Comment