Friday 7 November 2014

Masa itu Modal Insan (bahagian 1)

Modal

Jumlah Hits : 163


Siti Rohani Surani

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Usrati, Peka Bahasa, M-Tech, Kompas Kesihatan dan banyak lagi.
Semua orang ada modal yang satu ini. Modal tersebut sangat besar. Cumanya sama ada modal tersebut masih banyak atau tinggal sikit saja. Hadis nabi SAW ada menyebut , “tidak akan berlaku kiamat kecuali bilamana manusia benar-benar merasakan betapa pantasnya masa berlalu”. Setahun macam sebulan, sebulan macam seminggu, seminggu macam sehari. Kita selalu kata tidak sempat itu dan ini. Padahal kita telah hidup dua puluh atau tiga puluh tahun yang lalu dan kita melalui masa yang sama juga, kan tetapi kenapa makin lama kita rasa tidak cukup masa. Jadi modal yang dimaksudkan ialah masa. Kuncinya ialah berkat. Selain masa modal itu juga boleh jadi keadaan yang kita lalui, peluang yang kita ada dan lain-lain.
 
Kita sering berkejar dengan modal yang kita ada iaitu masa. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan masa. Betapa mahalnya masa, sebab itu orang dulu-dulu (nenek moyang kita), sangat bijaksana dalam membuat perumpamaan. Mereka mengatakan, “masa itu ibarat emas”. Maksudnya bila mahal jadi jangan bazirkan. Saya rasa masa itu lebih mahal dari emas, sebabnya sesiapa yang ada duit boleh saja untuk membeli emas, tetapi masa ini walau sekaya mana pun seseorang itu, dia tetap tidak boleh membeli masa yang lebih atau memiliki masa yang lebih banyak daripada orang lain. Semua orang dalam dunia ini mempunyai jumlah masa 24 jam sehari. Jadi pandai-pandailah menggunakannya.
 
Mari kita tanya ada ke tidak berkat pada anak-anak kita, pada harta, masa, ilmu dan lain-lain. Orang dulu-dulu sangat menitikberatkan soal berkat. Biar hidup ala kadar atau sederhana saja tetapi berkat itu ada. Sebagai contoh, cuba bayangkan jika kita ini kaya sangat. Asal hendak apa saja, petik jari saja. Maksudnya mudah untuk kita dapat sebab duit berkepok. Ibaratnya lima keturunan duit tetap tidak habis digunakan, tetapi anak-anak tidak menjadi. Mungkin anak-anaknya tidak pandai atau kaya tetapi tidak dapat menikmati kekayaannya. Tidurnya hanya boleh lena jika beralaskan tikar saja, bila baring diatas tilam yang tebal dan empuk, dia susah untuk tidur. Jadi dimana silapnya? Jawapannya kerana berkat itu tidak ada. Keberkatan yang kita nak cari itu biarlah umpama orang yang hidup beribu-ribu tahun walaupun umur kita tidak panjang manapun.
 
Buatlah sesuatu dengan hati yang hidup atau hidupkan hati. Banyak perkara yang kita buat separuh hati saja atau hendak tidak hendak saja. Jadi ini menandakan yang kita  akan membazirkan modal (masa) kita. Contohnya macam kita menegur atau menyapa orang, kita kadang-kadang seperti tidak berapa hendak tegur, kita menyapa bukan dengan sepenuh hati. Contoh lainnya, macam kita didik anak, kita didik dengan geram saja. Jadi bila anak kita sudah besar, dia tidak jadi sepertimana yang kita harapkan. Jadi inikan telah membazirkan masa kita, kita didik juga tetapi tidak menjadi, kalaulah dididik dengan sepenuh hati, maka kita tidak perlu tambah masa untuk kembali mendidiknya. Memanglah pepatah ada sebut, “latihan membentuk kesempurnaan”, tetapi saya kira kalau sudah selalu sangat buat perkara yang sama lama-lama kita penat juga. Tengok keadaanlah. Setiap keadaan menggunakan cara yang tidak sama.
 
Kita hidup mungkin sudah lebih dua puluh tahun. Tentu jemu bukan untuk melalui perkara yang sama. Lama-lama kita pun jadi tidak larat dan menyampah. Rasa bosan yang amat sangat. Cubalah kembali pupuk semangat dan minat untuk buat perkara yang sama dengan penuh kesungguhan. Hadirkan hati. Contohnya macam dalam berkawan, selama ini kita baik sangat berkawan dengan seseorang, tiba-tiba suatu hati kita bergaduh dengannya. Mulalah kita akan perlukan modal (masa) yang banyak untuk memperbaiki persahabatan. Itukan rugi namanya. Bukankah elok masa itu digunakan untuk perkara yang lain. Sebab itu ada orang yang kita dengar dia mempunyai masa lebih dari 24 jam, maksudnya dia merasakan masanya banyak. Bukan dia tidak ada perkara yang perlu dilakukan tetapi kerana segala urusannya dipermudahkan Allah. Ini adalah kerana masanya berkat. Walaupun banyak hal, tetapi dapat diselesaikan dengan cepat. Maka sebab itu dia mengatakan yang dia mempunyai banyak masa. Jadilah jutawan masa. Tidak timbul istilah tidak cukup masa jika kita bijaksana mengurus dan mengaturkan segala hal. Dalam masa yang sama tidak dinafikan kadangkala ada halangan dan cabaran yang datang yang menyebabkan urusan kita terbantut atau lambat untuk diselesaikan.
 
Kalau kita berkira dengan Allah, maka Allah akan berkira dengan kita. Contohnya kita berkira-kira untuk tunaikan solat, tunggu dihujung-hujung waktu baru kita tunaikan. Maka bimbang-bimbang nanti Allah akan lambat tunaikan hajat kita. Sepuluh minit kita berkira untuk tunaikan solat, nanti mana tahu satu jam urusan kita tidak Allah permudahkan. Buatlah sesuatu dengan “itqan” iaitu bersungguh-sungguh. Masa adalah perkara yang akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti. Masa yang kita ada untuk apa kita gunakan. Tentang masa, yang berlalu jadikan kenangan, yang akan datang kita hargai. Janganlah kita biarkan modal kita habis berlalu dengan tidak kita memanfaatkannya dengan sepenuh yang mungkin. Yang penting bukan banyak mana masa yang kita ada, tetapi kualiti apa yang kita letak didalamnya. Moga-moga kita berjaya meraih keberkatan masa yang akan memberi kesan terhadap keberkatan hidup kita. Bila dapat berkat segalanya mudah dan teratur.

No comments:

Post a Comment