Monday 24 November 2014

Hijrah niat dalam bekerja

Hijrah Niat Dalam Bekerja

Jumlah Hits : 252


Norhayati Paradi

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Motivasi Pagi, Agama dan Peradaban, Dimensi, Dinamika dan banyak lagi.
Buah fikir ini dijadikan pembuka kepada topik bicara Ustaz Parol Mohd Juoi minggu lalu menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran setiap Rabu jam 10.15 pagi. Samaada kita melakukan kerja atas dasar kesedaran atau berlandas kebiasaan, nilaian diberi menerusi niat yang disandarkan. Berbeza sebenarnya melakukan tugas yang punya rasa berbanding yang telah biasa.
 
Firman Allah SWT pada surah Hud ayat 15 mafhumNya, “Sesiapa yang berusaha dengan tujuan mahukan kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia”.  Juga ayat 20 Surah As-Syura mafhumNya, “Sesiapa yang berusaha dengan tujuan mahukan faedah akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan kepada faedah ditujunya itu.”  Dan lagi Surah An-Nisa’ ayat 114 Allah berfirman MafhumNya, “Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan tujuan mendapat keredhaan Allah maka sudah tentu Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar”. Kesemua ayat-ayat ini menggambarkan tentang natijah yang bakal kita perolehi adalah berdasarkan kepada niat yang pucuk pangkalnya bermula dengan hati.
 
Berkhidmat itu datang dari hati akan dapat nilaian yang tinggi di sisi Ilahi. Dalam Islam, kerja ada kaitannya dengan hari akhirat, tuntutan agama dan berkait rapat dengan Allah SWT. Secara tidak langsung kerja menjadi tujuan hidup kita sebagai hamba Allah yang perlu menjadi baik dan khalifah untuk memberi kebaikan kepada yang lain. Itu yang membezakan kerja umat Islam dengan yang belum Islam yang kerjanya mungkin hanya untuk menyara kehidupan.
 
Burung keluar dari sangkar dengan tembolok yang kosong, senja nanti dia akan pulang dengan tembolok yang penuh dengan makanan. Hukama menukilkan bahawa tuhan menciptakan rezeki untuk burung tetapi burung perlu terbang untuk mendapatkan makanannya. Tidak dapat disangkal bahawa rezeki telah ditentukan tetapi usaha menjadi jalan untuk rezeki itu benar-benar sampai. Dan usaha itu juga perlu disekalikan dengan niat agar hadirnya rezeki ke dalam diri beserta keberkatan dan nilaian terbaik daripada Allah SWT.
 
Menerusi niat menjadi sahnya sesuatu amalan ibadah sama ada yang fardu mahupun sunat. Tanpa niat sesuatu amalan itu tidak mendatangkan sebarang pahala di sisi Allah. Begitu jugalah halnya dengan pekerjaan seharian yang kita lakukan. Untuk menjadikannya satu ibadah yang berpahala mesti dimulakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah.
 
Pernah juga dikisahkan, satu hari Rasulullah SAW bertemu dengan Sa’ad bin Mu’adz Al-Anshari  lalu melihat tangannya yang kematu akibat kuat bekerja, lalu ditanyakan oleh Rasulullah SAW “Mengapa tanganmu?”. Kemudian dijawab olehnya  “Tanganku seperti ini karena aku mengolah tanah dengan cangkul untuk mencari nafkah halal bagi keluarga yang menjadi tanggunganku.” Mendengar jawapan tersebut, Rasulullah SAW lantas menciumnya seraya bersabda, “Inilah tangan yang tidak akan pernah disentuh api neraka”.
 
Dari peristiwa di atas Rasulullah SAW memberi pesan kepada seluruh umat Islam bahawa tangan yang bekerja keras merupakan tangan yang dicintai Allah SWT dan membawanya menuju syurga. Betapa sesungguhnya bekerja merupakan perbuatan yang sangat mulia. Oleh karena itulah, bekerja dalam Islam menduduki tempat yang sangat mulia lebih-lebih lagi pekerjaan yang disertakan dengan niat kerana Allah SWT.
 
Jika diperhatikan, Malaysia hari ini terus diasak dengan tahap pengangguran dan penguasaan warga asing dalam sektor pekerjaan sehingga disifatkan sebagai menimbun. Dan mengikut penelitian kepada didikan Rasulullah SAW, terdapat banyak hadis yang menganjurkan untuk kita berusaha mencari rezeki dan menjauhi sifat mengemis apatah lagi meminta-minta di negara sendiri antaranya menerusi hadis daripada Zubair bin Awwam r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “ Sesungguhnya,  jika seseorang di antara kamu membawa tali-talinya dan pergi ke bukit untuk mencari kayu api yang dipikul di belakangnya untuk dijual sehingga dia mampu memenuhi keperluannya, adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik mereka memberi atau tidak”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
 
Ini adalah alasan terbesar untuk kita hijrahkan kerja kita, bukan sekadar sebagai keperluan hidup yang memang telah wujud dalam kehidupan haiwan juga tumbuhan. Tetapi hijrah niat bekerja untuk tujuan hidup kita iaitu ibadah dan tanggungjawab sebagai seorang khalifah yang dimulakan dengan niat. Dari laksanakan tugas atas dasar tuntutan hidup kepada lunaskan kerja dengan nilaian akhirat yang berkaitan dengan niat kerana Allah dan mendapat pahala seperti yang dijanjikan. InshaAllah.
Adalah menjadi dosa bila bekerja dengan malas, adalah menjadi satu pengkhianatan bekerja di tempat yang baik tetapi cara kerja tidak baik. Inilah dimensi yang perlu kita terokai untuk keluarkan diri dari berada di alam jahiliah moden ini. Perlu kepada kebijaksanaan tanpa bergerak dengan semberono,  sembarangan dan gopoh kerana membina mengambil masa tetapi meruntuh hanya sekelip mata. Justru, perlu kepada penghijrahan niat dan istiqomah serta menambahbaik nilai niat dari masa ke masa.
 
Oleh itu, setiap langkah kaki ke tempat kerja kita bawa niat bahawa kerja itu suatu ibadah yang dinilai oleh Allah. Selalu tersemat bahawa kerja itu suatu tugas kita sebagai khalifah kerana kita hendak bawa dan beri kebaikan kepada orang lain. Allah cinta kepada orang yang mencintai hambaNya dan mudah-mudahan apabila kita bekerja sekarang kita bawa suatu yang baru yang membolehkan kita melihat kerja bukan faktor kebiasaan tetapi jadikan kerja kita suatu yang luar biasa kerana di sanalah kita mendapat keredhaan Allah dengan memberi khidmat kepada manusia dan menuai pahala kerana kesusahan, keletihan dan kepenatan daripada kita pergi kerja sehingga pulang dari bekerja. Kepenatan itu berbaloi kerana Allah beri ganjaran bukan sahaja di dunia tetapi di syurga. Bak kata orang tua;  dunia adalah tempat kita berpenat, akhirat nantilah tempat kita berehat. Dan tempat rehat yang seenak-enaknya tentulah di syurga.

No comments:

Post a Comment