Saturday 26 April 2014

UMKI pasca ibadah umrah/ haji

http://muhdkamil.org/u-mki/2014/04/26/menjaga-tingkah-laku/

Bagaimana rasa jiwa apabila selesai menunaikan keperluan bertahlul yang melengkapkan rukun dan wajib umrah? InsyaAllah, ketakutan dan kegelisahan terurai serta-merta. Itulah rasa hati mereka yang pertama kali menunaikan umrah.
Lega.
Jemaah lega kerana pelbagai persepsi yang terkandung di dalam hati tidak berlaku. Cerita-cerita kesukaran mereka yang berada di Tanah Suci – sebenarnya – tidaklah benar atau begitu teruk. Banyak yang ditokok-tambah atau jika ia benar-benar berlaku sekalipun hanyalah kes terpencil yang diperbesar atas beberapa sebab yang tidak kami ketahui.
Istilah pembalasan tunai dinyatakan secara negatif. Hakikat sebenar, apa sahaja yang berlaku merupakan ujian Allah SWT bagi mendekatkan hamba kepadaNya. Kita sebenarnya diajar untuk berdoa, merayu dan merintih serta menyerah seluruh jiwa raga kepada Dia yang kita sembah. Satu-satunya yang disembah.
MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar … bukankah dua kali kita berikrar kepadanya betapa Dialah satu-satunya yang kita sembah melalui sebutan talbiah yang begitu ringkas sepanjang berada di dalam ihram.
HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah hambaMu datang menyahut panggilanMu. HambaMu datang menyahut panggilanMu Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu.
Hamba datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian dan ni’kmat serta kerajaan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagi-Mu.
Begitulah. Bagi jemaah yang mengerti konsep umrah yang sebenarnya akan sujud rebah ke bumi mengucapkan syukur kepadaNya apabila selesai menunaikan ibadat ini. Ia bukan soal kelegaan kerana terlepas daripada pantang larang ihram tetapi lebih kepada bersyukur di atas sifat Maha Pengasih Allah SWT yang membenarkan kita menyempunakan ibadat umrah. Malah bayangkanlah bagaimana dosa-dosa yang tertanggung selama ini gugur satu persatu.
Kita sesuci bayi.
Jika itu yang kita sedari maka logiknya tingkah laku kita akan menggambarkan perasaan tersebut. Airmata gugur tanpa dipaksa. Rasa hati jadi sebak dan pilu. Hati pastinya akan merayu-rayu kepadaNya agar tidak lagi membuat dosa. Kita mahu menambah kebaikan sehinggalah kita dijemput pulang.
Namun suasana seumpama ini jarang berlaku. Mereka yang datang berkeluarga lebih enak untuk melahirkan kegembiraan dengan bergambar beramai-ramai berbanding sujud syukur. Usai ibadat umrah membawa mereka kembali kepada tingkah laku yang tidak melayakannya menjadi ahli syurga tanpa dihisab.
Hari-hari selebihnya lebih banyak diguna dengan bersembang, berjenaka, membeli-belah sehinggalah kepada tidur dan rehat yang berpanjangan. Tiada masa untuk bertafakur dan merenung masa berbaki yang kian suntuk. Terdapat juga jemaah yang sudah tidak mementingkan solat berjemaah di masjid. Ruang hadapan hotel sudah menjadi tempat mereka berimamkan imam Masjidil Haram.
Malah ketika berangkat pulang sudah ada kaum wanita yang tidak lagi menjaga aurat dengan sempurna. Mulut bercakap langsung tidak menggambarkan wanita solehah.
Begitulah …. apabila mendarat di KLIA, carilah jika ada jemaah yang begitu terharu dan sebak kerana selamat sampai ke Tanah Air lalu singgah di bilik solat untuk mengucapkan syukur kepadaNya. Hati akan merayu dan meminta kepadaNya,
Ya Allah, ya Tuhan kami, berikanlah kekuatan kepada kami untuk meneruskan apa yang telah kami lakukan semasa di Makkah dan Madinah ya Allah. Kami ingin solat berjemaah di masjid, kami ingin bangun malam, kami ingin membaca al-Quran dan terjemahan, kami ingin berpuasa sunat ya Allah. Ya Allah, kami ingin bersihkan hati kami ya Allah.
Barangkali lebih ramai yang ceria menuju tempat bagasi untuk mengambil tamar, air zam-zam, abaya, jubah dan pelbagai barangan yang dibawa pulang. Bukankah itu kegiatan bersungguh yang kita lakukan di Madinah atau Makkah sebelum berlepas pulang?
Maka itulah perilaku pasca umrah yang akan berlaku. Entah … kami sebut dan nyatakan untuk difikirkan. Ia bukan soal wajib di dalam melaksanakan ibadat umrah. Benar, hanya untuk difikirkan.

No comments:

Post a Comment