Friday, 15 November 2013

Panduan mengahwini seorang doktor

http://saifulislam.com/2012/11/panduan-mengahwini-seorang-doktor/

“Apa persediaan yang diperlukan untuk mengahwini seorang doktor?” seorang penghantar emel bertanya soalan.

Jawapannya ada di dalam tiga buku yang telah saya tulis.

Tetapi memberitahu begitu mungkin tidak membantu.

Apa yang ingin disampaikan mungkin perlu diberitahu secara spesifik agar JELAS.
Berikut adalah rumusan yang boleh saya fikirkan, apabila seseorang yang bukan doktor mahu mengahwini seorang doktor:

1. GADIS ITU DOKTOR
Anda mengahwini seorang gadis, yang anda pilih, dan cintai, kerana dirinya adalah dirinya, sebelum beliau seorang doktor. Pandanglah dia sebagai gadis itu, bukan sebagai seorang doktor. Dia mahu dirinya dicintai sebagai dirinya.

Jika dirinya melakukan kesilapan, ia adalah kerana dirinya adalah dirinya, bukan kerana dia itu seorang doktor. Dia doktor di hospital atau klinik, tetapi dia ada gadis itu di hospital, klinik dan luar hospital serta luar klinik.

2. MEMBERI, LEBIH DARIPADA MENERIMA
Anda seorang yang semasa berkahwin, sangat berminat untuk berperanan, menyumbang, berkongsi, membantu dan mendidik. Yakni berkahwin kerana dorongan MEMBERI, bukan MENERIMA.
Hala fikir dan jangkaan perkahwinan adalah daripada anda kepada dia, bukan dia kepada anda. Anda mencari bahagia dalam melakukan sesuatu, bukan menunggu diperlakukan seperti yang anda mahu. Dan semua yang dilakukan seperti yang anda mahu berubah daripada ‘gaji’ kepada ‘bonus’ yang sentiasa dirai dan dihargai.

Maknanya, gaji perkahwinan anda adalah daripada apa yang anda buat. Manakala bonus adalah daripada apa yang isteri anda buat.

3. KESIBUKAN
Kerja lain pun sibuk juga. Tetapi bekerja sebagai doktor memang sibuk.
Namun sibuknya hanya seketika, di beberapa tahun permulaan bekerja. Ketika houseman (internship), ketika menjadi pegawai perubatan (MO), ketika tahun pertama hingga keempat semasa mengikuti program Sarjana Klinikal hingga berjaya menjadi pakar. Semasa beliau menjadi pakar, beliau masih sibuk, tetapi Insya Allah ketika itu anda juga sudah menjadi pakar menguruskan kesibukan  diri dan isteri.

Jadi, jangan terkejut dengan kesibukan, menyalahkan kesibukan, marah-marah dengan kesibukan kerana ia sesuatu yang sepatutnya sudah ada dalam jangkaan. Mana mungkin semasa memandu di lebuhraya, tiba-tiba and terkejut melihat plaza tol! Memang ia sudah ada dalam jangkaan. Sediakan siling atau touch and go, sampai waktunya, bertindaklah seperti yang sepatutnya.

4. HARGA DIRI
Andai bakal isteri anda seorang doktor, manakala anda pula jurutera, akauntan, peguam atau ahli perniagaan kelas A, maka topik ini tidak begitu relevan. Tetapi jika anda seorang ‘ustaz’ seperti saya, anda mesti tangkas mengendalikan keyakinan diri, tahu meletakkan nilai yang betul kepada diri dan isteri dan teguh mendepani persepsi ahli keluarga atau masyarakat yang mungkin sekali sekala boleh menguji maruah diri anda.

Semasa berwacana di Indonesia, saya dimaklumkan oleh seorang rakan panelis bahawa jika di Indonesia itu, untuk seorang doktor perempuan berkahwin dengan ustadz, ia masih jarang-jarang berlaku. Kelihatannya seperti tidak sekufu. Sama ada soal gaji, soal status sosial atau apa sahaja, sang suami mungkin sering kalah, kalah dan kalah.

Maka untuk mendepani hal ini, jangan pula sang suami melatah mencari pendapatan tambahan secara haram, naudhubillah. Atau secara yang kemudiannya nanti menggadaikan tujuan asal berumahtangga.
Harus ada persefahaman yang tinggi antara diri dan isteri. Sering berbincang. Kukuh mengukuhkan. Dan sangat bagus jika anda mengambil tahu tentang kerja isteri, memahami jargon-jargon perubatan, isu-isu di tempat kerjanya, kerenah para doktor dan pasukan perubatan yang menjadi rutin hariannya agar bukan sahaja perbualan anda dengan isteri menarik, malah anda tidak menjadi kera sumbang apabila sesekali bersama isteri di dalam majlis yang dihadiri oleh para doktor seperti isteri anda.
Dalam bab ini juga, hanya pendapat anda dan isteri sahaja yang valid. Pendapat SESIAPA SAHAJA selain anda dan isteri hendaklah diabaikan, dipekakkan dan bersenang lenanglah anda dan isteri dengan kasih sayang serta keyakinan bersama tanpa terkesan dengan ‘apa orang lain cakap’.
Anda mestilah seorang yang bekerja keras, tanpa mengabaikan keluarga, berusaha meningkatkan kualiti diri, belajar ilmu dan kemahiran baru, dan seterusnya menjana pendapatan yang lebih baik dari semasa ke semasa. Sangat bagus juga jika anda boleh pertimbangkan pilihan menyambung pengajian ke peringkat Masters dan PhD untuk tujuan ini, dan untuk anda berasa gembira dengan diri sendiri. Jika anda gembira, doktor itu gembira, dan anak-anak gembira, masyarakat pun gembira.
Yang berduka dan negatif hanyalah yang masih terus mengumpat, mengata dan hidup berhasad dengki, kata Prof Dr. Muhaya. Juga seorang doktor.

5. MENJADI SURI RUMAH?
Jangan paksa doktor itu berhenti kerja dan menjadi suri rumah.
Jika anda berpegang dengan pendapat wanita lebih baik duduk di rumah, janganlah mengahwini seorang doktor.

Perbelanjaan besar untuk menghasilkan seorang doktor. Pengorbanan yang besar untuk menghasilkan seorang doktor. Tugasan fardhu kifayah yang besar di bahu seorang doktor. Semuanya besar belaka apabila namanya doktor.

Tetapi jika isteri anda berpendapat lebih baik berhenti kerja dan menjadi suri rumah, berilah sokongan kepada apa yang beliau yakini terbaik kerana itu akan membantu beliau membuat keputusan dengan baik, dan seterusnya keputusan yang dibuat menjadikan beliau seorang yang lebih baik. Anda dan anak-anak juga akan menikmatinya.
Apa sahaja pilihan, sentiasa win some lose some. Berbijaksanalah kita dalam mengendalikannya.

Usaha kecil kami untuk memberikan sokongan moral kepada para suami doktor. Sertai KELAB SUAMI DOKTOR

6. MERANCANG KELUARGA
Perkara ini juga subjektif. Terpulang kepada perancangan masing-masing.

Cuma, semasa isteri anda mengikuti program Sarjana Klinikal untuk menjadi doktor pakar, beliau berstatus pelajar, walaupun hakikatnya bekerja. Maka sebagai pelajar, tiada cuti bersalin. Sama ada beliau menangguhkan pengajiannya satu semester kerana bersalin, atau menghimpun cuti tahunan sebanyak dua minggu, sebagai tempoh yang terbaik mampu dimiliki oleh seorang wanita bersalin yang merupakan seorang doktor.

Maka, rancanglah ia dengan baik.

Berkomunikasi.

7. PEMBANTU RUMAH
Mempunyai pembantu rumah bukan suatu kemewahan.
Jika anda beristerikan seorang doktor, ia berkemungkinan besar menjadi satu keperluan yang mendesak. Bukan soal doktor sibuk tidak boleh mengendalikan rumahtangganya sendiri. Tetapi isu yang lebih besar adalah soal sensitiviti masa. Amat sukar untuk dipastikan di rumah itu ada seseorang untuk anak anda boleh berada di rumah tanpa anda mahu pun Puan Doktor.
Urusan pass over anak-anak memang sangat mencabar.
Namun hal ini masih kekal subjektif, sentiasa ada alternatif lain yang boleh diterokai. Namun jangan bebankan ibu bapa di kampung tanpa kerelaan mereka dan uruskan sendiri hal rumahtangga anda.
Berbincanglah.

HAL-HAL SAMPINGAN
Doktor mungkin balik ke rumah membawa bakteria, batuk-batuk, conjunctivitis, bronchiolitis dan sakit-sakit berjangkit yang lain dengan kadar kebarangkalian yang tinggi sedikit berbanding kerjaya-kerjaya yang lain. Doktor itu juga mungkin akan terlebih risaukan kesihatan keluarganya, atau terlebih selamba terhadap kesihatan keluarganya. Anda beristerikan doktor, sedangkan anak anda mungkin (saya katakan, mungkin) berazam untuk tidak menjadi doktor. Anda rindukan pengalaman ke klinik kerana selepas berkahwin mungkin amat jarang anda akan ke klinik untuk mendapatkan ubat.

Semua hal ini, remeh temeh, tetapi jika anda seorang yang kreatif, ia boleh menjadi perencah yang menceriakan rumahtangga!

Batuk sama-sama.

Selsema sama-sama.

Mata merah ramai-ramai.

Macam orang lain juga.

Tetapi boleh bermain hospital-hospital di rumah dengan anak-anak!

KESIMPULAN
Mahu hebat,  mesti berani mendepani risiko. Tidak boleh berjiwa pesakit lagi berpenyakit.
Berkahwin dengan doktor, sangat besar khasiatnya untuk seorang lelaki hebat yang bersemangat nak masuk SYURGA ALLAH.

Nak tak?

HASRIZAL
43000 BSP
Presiden Lantikan Sendiri Kelab Suami Doktor!

No comments:

Post a Comment