Modal
Tarikh kemaskini : 6 November, 2014 | Disediakan oleh : Siti Rohani Surani Jumlah Hits : 163
Semua orang ada modal yang satu ini.
Modal tersebut sangat besar. Cumanya sama ada modal tersebut masih
banyak atau tinggal sikit saja. Hadis nabi SAW ada menyebut , “tidak
akan berlaku kiamat kecuali bilamana manusia benar-benar merasakan
betapa pantasnya masa berlalu”. Setahun macam sebulan, sebulan macam
seminggu, seminggu macam sehari. Kita selalu kata tidak sempat itu dan
ini. Padahal kita telah hidup dua puluh atau tiga puluh tahun yang lalu
dan kita melalui masa yang sama juga, kan tetapi kenapa makin lama kita
rasa tidak cukup masa. Jadi modal yang dimaksudkan ialah masa. Kuncinya
ialah berkat. Selain masa modal itu juga boleh jadi keadaan yang kita
lalui, peluang yang kita ada dan lain-lain.
Kita sering berkejar dengan modal yang
kita ada iaitu masa. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan masa. Betapa
mahalnya masa, sebab itu orang dulu-dulu (nenek moyang kita), sangat
bijaksana dalam membuat perumpamaan. Mereka mengatakan, “masa itu ibarat
emas”. Maksudnya bila mahal jadi jangan bazirkan. Saya rasa masa itu
lebih mahal dari emas, sebabnya sesiapa yang ada duit boleh saja untuk
membeli emas, tetapi masa ini walau sekaya mana pun seseorang itu, dia
tetap tidak boleh membeli masa yang lebih atau memiliki masa yang lebih
banyak daripada orang lain. Semua orang dalam dunia ini mempunyai jumlah
masa 24 jam sehari. Jadi pandai-pandailah menggunakannya.
Mari kita tanya ada ke tidak berkat pada
anak-anak kita, pada harta, masa, ilmu dan lain-lain. Orang dulu-dulu
sangat menitikberatkan soal berkat. Biar hidup ala kadar atau sederhana
saja tetapi berkat itu ada. Sebagai contoh, cuba bayangkan jika kita ini
kaya sangat. Asal hendak apa saja, petik jari saja. Maksudnya mudah
untuk kita dapat sebab duit berkepok. Ibaratnya lima keturunan duit
tetap tidak habis digunakan, tetapi anak-anak tidak menjadi. Mungkin
anak-anaknya tidak pandai atau kaya tetapi tidak dapat menikmati
kekayaannya. Tidurnya hanya boleh lena jika beralaskan tikar saja, bila
baring diatas tilam yang tebal dan empuk, dia susah untuk tidur. Jadi
dimana silapnya? Jawapannya kerana berkat itu tidak ada. Keberkatan yang
kita nak cari itu biarlah umpama orang yang hidup beribu-ribu tahun
walaupun umur kita tidak panjang manapun.
Buatlah sesuatu dengan hati yang hidup
atau hidupkan hati. Banyak perkara yang kita buat separuh hati saja atau
hendak tidak hendak saja. Jadi ini menandakan yang kita akan
membazirkan modal (masa) kita. Contohnya macam kita menegur atau menyapa
orang, kita kadang-kadang seperti tidak berapa hendak tegur, kita
menyapa bukan dengan sepenuh hati. Contoh lainnya, macam kita didik
anak, kita didik dengan geram saja. Jadi bila anak kita sudah besar, dia
tidak jadi sepertimana yang kita harapkan. Jadi inikan telah
membazirkan masa kita, kita didik juga tetapi tidak menjadi, kalaulah
dididik dengan sepenuh hati, maka kita tidak perlu tambah masa untuk
kembali mendidiknya. Memanglah pepatah ada sebut, “latihan membentuk
kesempurnaan”, tetapi saya kira kalau sudah selalu sangat buat perkara
yang sama lama-lama kita penat juga. Tengok keadaanlah. Setiap keadaan
menggunakan cara yang tidak sama.
Kita hidup mungkin sudah lebih dua puluh
tahun. Tentu jemu bukan untuk melalui perkara yang sama. Lama-lama kita
pun jadi tidak larat dan menyampah. Rasa bosan yang amat sangat.
Cubalah kembali pupuk semangat dan minat untuk buat perkara yang sama
dengan penuh kesungguhan. Hadirkan hati. Contohnya macam dalam berkawan,
selama ini kita baik sangat berkawan dengan seseorang, tiba-tiba suatu
hati kita bergaduh dengannya. Mulalah kita akan perlukan modal (masa)
yang banyak untuk memperbaiki persahabatan. Itukan rugi namanya.
Bukankah elok masa itu digunakan untuk perkara yang lain. Sebab itu ada
orang yang kita dengar dia mempunyai masa lebih dari 24 jam, maksudnya
dia merasakan masanya banyak. Bukan dia tidak ada perkara yang perlu
dilakukan tetapi kerana segala urusannya dipermudahkan Allah. Ini adalah
kerana masanya berkat. Walaupun banyak hal, tetapi dapat diselesaikan
dengan cepat. Maka sebab itu dia mengatakan yang dia mempunyai banyak
masa. Jadilah jutawan masa. Tidak timbul istilah tidak cukup masa jika
kita bijaksana mengurus dan mengaturkan segala hal. Dalam masa yang sama
tidak dinafikan kadangkala ada halangan dan cabaran yang datang yang
menyebabkan urusan kita terbantut atau lambat untuk diselesaikan.
Kalau kita berkira dengan Allah, maka
Allah akan berkira dengan kita. Contohnya kita berkira-kira untuk
tunaikan solat, tunggu dihujung-hujung waktu baru kita tunaikan. Maka
bimbang-bimbang nanti Allah akan lambat tunaikan hajat kita. Sepuluh
minit kita berkira untuk tunaikan solat, nanti mana tahu satu jam urusan
kita tidak Allah permudahkan. Buatlah sesuatu dengan “itqan” iaitu
bersungguh-sungguh. Masa adalah perkara yang akan ditanya oleh Allah
diakhirat nanti. Masa yang kita ada untuk apa kita gunakan. Tentang
masa, yang berlalu jadikan kenangan, yang akan datang kita hargai.
Janganlah kita biarkan modal kita habis berlalu dengan tidak kita
memanfaatkannya dengan sepenuh yang mungkin. Yang penting bukan banyak
mana masa yang kita ada, tetapi kualiti apa yang kita letak didalamnya.
Moga-moga kita berjaya meraih keberkatan masa yang akan memberi kesan
terhadap keberkatan hidup kita. Bila dapat berkat segalanya mudah dan
teratur.
No comments:
Post a Comment