Friday, 14 November 2014

Masa itu Modal Insan (bahagian 2)

Masa Itu Modal Insan

Jumlah Hits : 115


Siti Rohani Surani
Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Usrati, Peka Bahasa, M-Tech, Kompas Kesihatan dan banyak lagi.
Allah SWT mengungkapkan dalam surah Ar-Rum ayat 54, “Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki Nya dan Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. Segmen Usrati di IKIMfm bersama Ustazah Norhafizah Musa pada Khamis lalu pada jam 5.15 petang telah memperkatakan tentang tajuk “Modal” bahagian kedua Modal apakah yang dimaksudkan? Ustazah Norhafizah binti Musa ada jawapannya.
 
Lihat betapa lemahnya kita, perlu ditolong bantu oleh orang lain. Semasa kita kecil ibubapalah yang membantu kita. Kemudian kita menjadi kuat dan gagah. Makin masa berlalu, modal kita makin sedikit. Jadi modal yang dimaksudkan ialah masa. Kuncinya ialah berkat. Selain masa modal itu juga boleh jadi keadaan yang kita lalui, peluang yang kita ada dan lain-lain.
 
Kita sering berkejar dengan modal yang kita ada iaitu masa. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan masa. Allah SWT juga mengungkapkan lagi dalam surah Al-Kahfi ayat 49, “Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) didalamnya dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun”.
 
Dengan modal umur, apa yang kita cakap, apa yang kita buat, apa yang kita usaha dan angan-angankan segalanya tertulis. Bagaimana kita mengelola modal masa.
Nabi Nuh AS ketika berdialog dengan malaikat maut, malaikat maut bertanya kepada Nabi Nuh, “wahai nabi yang panjang umur lebih dari seribu tahun, bagaimana kamu dapat rasakan dengan umur kamu yang panjang itu”?
Nabi Nuh AS menjawab, “Seperti sebuah rumah yang mempunyai pintu hadapan dan belakang, Aku masuk pintu depan dan aku keluar pintu belakang. Begitulah pantasnya masa. Itu bagi yang berumur panjang, umur kita tidaklah sepanjang umur Nabi Nuh AS. Maka lagilah singkatnya masa yang kita ada.
 
Buatlah sesuatu dengan hati yang hidup atau hidupkan hati. Banyak perkara yang kita buat separuh hati saja atau hendak tidak hendak saja. Jadi ini menandakan yang kita  akan membazirkan modal (masa) kita. Contohnya macam kita menegur atau menyapa orang, kita kadang-kadang seperti tidak berapa hendak tegur, kita menyapa bukan dengan sepenuh hati. Contoh lainnya, macam kita didik anak, kita didik dengan geram saja. Jadi bila anak kita sudah besar, dia tidak jadi sepertimana yang kita harapkan. Jadi inikan telah membazirkan masa kita, kita didik juga tetapi tidak menjadi, kalaulah dididik dengan sepenuh hati, maka kita tidak perlu tambah masa untuk kembali mendidiknya. Untuk menghargai masa juga, jangan kita buat perkara yang boleh memakan pahala. Jangan buat sesuatu yang tidak ada kaitan dengan kita. Ini pembaziran masa namanya. Contohnya kita suka sangat untuk ambil tahu hal orang lain yang pada hakikatnya tidak perlu untuk kita tahu pun. Kita suka tanya cerita tentang orang itu dan ini. Alasannya untuk menghubungkan silaturahim. Itu bukanlah cara bersilaturahim yang di tuntut oleh Islam. Silaturahim sebenarnya tidak perlu untuk kita menyapa atau bertegur sapa dengan orang lain setiap hari. Bukan tiap-tiap hari kita kena ambil tahu hal orang lain. Sesuatu yang penting juga ialah bukan semua perkara kita kena respon. Contohnya bila ada “grup WhatsApp”, bukan semua perkara kita perlu respon dalam “grup” tersebut. Bayangkanlah jika kita ada berpuluh “grup WhatsApp”, pasti letih untuk membalas setiap perkara, bukan? Jadi orang yang bijaksana, dia tahu untuk melihat mana yang penting dan mana yang tidak.
 
Contoh yang lain ialah kita sering melayan “facebook” dengan masa yang banyak. Malah banyak juga kita menyebar, berkongsi atau memanjang-manjangkan sesuatu cerita atau perkara kepada orang lain, yang belum tentu betulnya. Tidak pasal-pasal kita buat dosa jariah bukannya amal jariah. Perlu diingat ada dosa yang boleh meluputkan umur kita iaitu dengki. Dengki ini kata nabi SAW ibarat “api yang makan kayu api”. Ramai orang ada “SMS” iaitu susah melihat senang orang dan senang melihat susah orang. Orang yang ada sifat dengki ini akan cuba bermacam cara untuk memburuk atau mengenakan orang sehinggalah orang lain di timpa susah. Nabi SAW menreru supaya , “jika kamu mampu, berpagi-pagilah untuk kamu memeriksa diri kamu supaya dapat menghilang kan dengki dalam hati kamu. Ini adalah sunnah ku”. Punyalah penyakit dengki ini sangat tidak disukai oleh nabi SAW.
 
Antara dosa lain yang boleh memakan pahala kita ialah mengumpat dan menfitnah orang. Orang begini akan rugi dunia dan rugi akhirat, maka sia-sialah hidup di dunia. Walaupun umurnya panjang tapi penuh dengan dosa. Walaupun kita baru menyangka sesuatu yang buruk terhadap seseorang, itu juga sudah menjadi satu dosa .
 
Kita hidup mungkin sudah lebih dua puluh tahun. Itukan rugi namanya. Bukankah elok masa itu digunakan untuk perkara yang lain. Sebab itu ada orang yang kita dengar dia mempunyai masa lebih dari 24 jam, maksudnya dia merasakan masanya banyak. Bukan dia tidak ada perkara yang perlu dilakukan tetapi kerana segala urusannya dipermudahkan Allah. Ini adalah kerana masanya berkat. Walaupun banyak hal, tetapi dapat diselesaikan dengan cepat. Maka sebab itu dia mengatakan yang dia mempunyai banyak masa. Jadilah jutawan masa. Tidak timbul istilah tidak cukup masa jika kita bijaksana mengurus dan mengaturkan segala hal. Dalam masa yang sama tidak dinafikan kadangkala ada halangan dan cabaran yang datang yang menyebabkan urusan kita terbantut atau lambat untuk diselesaikan.

No comments:

Post a Comment