Dilema Wanita Berkerjaya: Transformasi Diri Dari Perspektif Islam
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
1.0 Pengenalan
Menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, Malaysia kini mempunyai 28.3 juta penduduk dengan bilangan lelaki melebihi wanita. Berdasarkan kepada laporan tersebut bilangan penduduk lelaki kini adalah seramai 14.56 juta orang dan wanita ialah seramai 13.77 juta orang.[1] Daripada statistik tersebut ini menunjukkan bahawa kaum wanita mewakili sebanyak 49% jumlah penduduk Malaysia. Butiran terperinci adalah seperti di Graf 1 dibawah:
Graf 1: Laporan Taburan Penduduk Dan Ciri-Ciri Asas Demografi 2010[2]
Di Malaysia, kita telah mengalami proses urbanisasi, industrialisasi dan globalisasi yang mana ianya telah memberi impak penting ke atas peranan dan sumbangan wanita dalam sektor pekerjaan. Akibat daripada ketiga-ketiga proses evolusi ini bukan sahaja telah mewujudkan peluang pekerjaan tetapi juga telah membuka ruang yang luas kepada kaum wanita untuk beralih daripada ruang domestik (rumahtangga) ke ruang perkhidmatan awam atau swasta. Namun begitu, perubahan proses evolusi ini tidak pula mengurangkan peranan kaum wanita dalam bidang domestik. [3]
Usaha pihak kerajaan yang telah memperluaskan peranan wanita juga turut menyumbang kepada penglibatan kaum wanita di dalam alam pekerjaan. Umpamanya kerajaan sentiasa berusaha mengadakan kemudahan penjagaan kesihatan ibu dan kanak-kanak, memberi perkhidmatan perancang keluarga serta menyediakan peluang pendidikan bagi membolehkan wanita turut sama terlibat dan menyumbang dengan aktifnya dalam pembangunan sosioekonomi negara. Setakat ini, pihak kerajaan telah berjaya melatih 2,680 ushahawan wanita di seluruh negara. Selain daripada itu, kerajaan juga telah menambah baik kemudahan cuti bersalin bagi penjawat awam dengan memberikan fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh selama 90 hari berbanding 60 hari sebelum ini. Walau bagaimanapun, kemudahan cuti ini tertakluk kepada tempoh perkhidmatan mereka. Langkah pihak kerajaan ini dilihat dapat meningkatkan lagi kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam ekonomi. [4]
Selain daripada itu, kerajaan terus memberi peluang kepada wanita yang berkelayakan untuk memegang jawatan pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan awam. Pada masa ini, sejumlah 31.5% jawatan penting dalam sektor awam telah diisi oleh wanita. Untuk meningkatkan lagi penyertaan wanita pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat, pada 27 Jun 2011, kerajaan telah membuat satu keputusan dasar bagi menggalakkan sektor korporat meningkatkan bilangan wanita sekurang-kurangnya 30% dalam lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi menjelang tahun 2016. [5]
2.0 Peranan Wanita Di Dalam Al-Quran
Ada terdapat banyak ayat-ayat Al Quran mengenai peranan kaum wanita dan kedudukannya di sisi Allah SWT dan berikut adalah sebahagian daripadanya:
a) Lelaki Dan Wanita Yang Beriman Dan Beramal Soleh Adalah Sama Disisi Allah
Di dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan bahawa lelaki dan perempuan adalah sama ganjaran pahala di sisi Allah SWT dalam aspek ibadah.
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.[6]
b) Menyeru Kebaikan Dan Menegah Kemungkaran
Tanggungjawab sebagai untuk menyeru kebaikan dan menegah kemungkaran juga adalah terpikul kepada kaum lelaki dan juga kaum wanita. Hukum melaksanakan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar adalah wajib. Kewajipan ini merupakan satu daripada kewajipan asas dalam Islam. Terdapat banyak dalil Al-Quran dan Hadis Nabi tentang kewajipan ini. Dalam karya fiqh klasik, istilah Amar Makruf Nahi Mungkar, jihad dan dakwah sering kali digunakan untuk merujuk kepada maksud yang sama. Dalam Al-Quran, perkataan Amar Makruf dan Nahi Mungkar digunakan sekurang-kurangnya lapan kali[7]. Antaranya ialah:
Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.[8]
c) Kisah Wanita Baik Dan Buruk
Al-Quran juga merakamkan kisah-kisah wanita yang baik dan buruk untuk kita umat yang Islam mengambil iktibar akan kisah-kisah yang di angkat di dalam Al-Quran. Ini kerana kisah-kisah di dalam Al-Quran adalah sebenar-benarnya kisah. Umpamanya kisah isteri Nabi Lut a.s, isteri Nabi Nuh a.s, isteri Firaun (Asiah) dan juga kisah ibu Nabi Isa a.s iaitu Maryam. Sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah) dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. [9]
Antara ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah seperti berikut:
Maksudnya: Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)".[10]
Al-Quran juga menceritakan perihal wanita yang solehah iaitu isteri Firaun yang telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT di atas keimanan beliau. Sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim";[11]
3.0 Peranan Wanita Di Zaman Dakwah Rasulullah SAW
Umat Islam tidak pernah ketandusan contoh-contoh wanita yang agung ketika zaman dakwah Rasulullah SAW untuk kita mengambil iktibar dalam mendepani kehidupan yang serba moden ini. Penglibatan wanita pada zaman Rasulullah SAW dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan adalah lambang keimanan dan ketaqwaan yang tinggi untuk kita teladani. Di antara contoh tersebut ialah:
a) Saidatina Khadijah binti Khuwailid r.a [12]
Saidatina Khadijah binti Khuwailid r.a adalah antara teladan dan ikutan yang paling terbaik yang perlu dicontohi oleh setiap wanita muslimah. Sikap dan teladannya adalah bersifat merentasi zaman. Beliau adalah isteri junjungan besar baginda Rasulullah SAW yang mana telah dijanjikan Allah SWT istana untuknya disyurga kelak.
Saiditina Aisyah r.a pernah meriwayatkan, Rasulullah SAW setiap kali menyembelih kambing, Baginda berkata:
“Hantarkan daging kambing kepada sahabat-sahabat Khadijah”. Sahabat lalu bertanya untuk apa Ya Rasulullah? Nabi berkata, “Aku kasih kepada kekasih-kekasih Khadijah”.
Lihatlah betapa hebatnya Saiditina Khadijah r.a dikasihi oleh Rasulullah SAW walaupun beliau telah meninggal dunia. Nabi SAW selalu mengenang kebaikan dan curahan kasih sayang beliau terhadap Baginda SAW. [13]
b) Ummu Sulaim [14]
Ummu Sulaim r.a merupakan contoh wanita yang baik kepada mereka yang aktif mengamalkan aktiviti di luar rumah. Di dalam hadith disebutkan apabila Nabi SAW berselisih dengan Ummu Sulaim r.a, Baginda akan mengucapkan salam kepada beliau. Apakah yang menjadikan Ummu Sulaim istimewa dan mulia di sisi Rasullullah SAW? Ikuti kisahnya seperti berikut:
Ummu Sulaim memeluk Islam dan beriman kepada Allah pada ketika suaminya Malik Bin Nadhr berusaha memujuknya supaya kembali kepada agama asal namun beliau tetap dengan pendiriannya dan akhirnya suaminya meninggalkannya dan menuju ke Syam, dan tidak lama selepas itu suaminya mati dalam kesyirikan.
Selepas kematian suaminya itu, Abu Talhah[15] yang ketika itu belum memeluk Islam datang membawa emas dan perak untuk meminangnya. Lantas beliau berkata, “Aku tidak berhajat kepada dua benda ini, akan tetapi maharku adalah Islam, sekiranya engkau terima maka aku tidak berhajat kepada perkara yang lain”.
Abu Talhah kemudian keluar dan kembali sebagai seorang Muslim, maka beliau pun mengahwininya. Berkata seorang wanita Ansar, “Tidak pernah kami mendengar hingga kini seorang yang lebih mulia maharnya dari Ummu Sulaim yamg mana maharnya adalah Islam”.
Hasil perkahwinannya dengan Abu Talhah, beliau di kurniakan seorang anak bernama Abu Umair. Suatu hari, ketika suaminya keluar bermusafir, anaknya telah ditimpa sakit yang akhirnya membawa kepada ajalnya. Ummu Sulaim telah memandikan dan mengkafankannya. Selepas itu beliau berkata kepada ahli keluarganya, “Biarlah aku yang mengkhabarkan berita tentang kematian anakku ini kepada suamiku”.
Dalam sebuah hadith dari Jabir bin Abdullah r.a: Rasulullah SAW bersabda: Aku diperlihatkan ke dalam Syurga, aku melihat isteri Abu Talhah. Kemudian aku mendengar hentakan orang berjalan, ternyata beliau adalah Bilal (HR Muslim: 4495)
c) Asma binti Umais
Peranan dan sumbangan Asma binti Umais di pada awal dakwah Nabi Muhammad SAW ialah dengan beliau ikut serta di dalam rombongan bersama Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Habsyah dan Madinah. Asma binti Umais juga terlibat di dalam pertermuan dengan Baginda Nabi SAW dan dengan para sahabat sejak sampai di Madinah.
Peranan dan sumbangan beliau juga adalah disanjung tinggi dengan melibatkan diri merawat para pejuang Islam yang berperang menegakkan Islam pada zaman awal dakwah Nabi Muhammad SAW. Antara sahabat yang beliau rawat ialah Saidina Abu Bakar r.a. [16]
4.0 Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Wanita Berkerjaya
Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan ke atas faktor-faktor yang mempengaruhi penyertaan wanita dalam tenaga kerja. Berikut diperturunkan hasil kajian yang telah dibuat oleh Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) berkenaan dengan faktor-faktor yang mempengaruhi wanita bekerja[17]:
a) Menyokong Ekonomi Rumah Tangga
Dengan bekerjanya si ibu, bererti sumber kewangan keluarga tidak hanya satu, bahkan dua (suami dan isteri). Oleh hal yang demikian itu, pasangan tersebut dapat berusaha untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik bagi keluarga seperti dalam hal makan minum, pendidikan, tempat tinggal, serta kemudahan kesihatan. Tambahan pula, bilangan wanita yang berkelulusan tinggi adalah meningkat saban tahun.
b) Meningkatnya harga diri dan pemantapan identiti
Bekerja memungkinkan seorang wanita mengekspresikan dirinya sendiri dengan cara yang kreatif dan produktif untuk menghasilkan sesuatu yang dapat menimbulkan kepuasan terhadap diri sendiri, terutama jika prestasi tersebut menerima penghargaan dan imbuhan yang positif.
Melalui bekerja, wanita berusaha mencari makna dan identiti dirinya; dan pencapaian tersebut menimbulkan keyakinan yang tinggi bagi mencapai kebahagiaan hidup. Wanita yang berpendidikan tinggi lebih cenderung mempamerkan mutu kerja berpasukan di dalam sesebuah organisasi.
Melalui bekerja, wanita berusaha mencari makna dan identiti dirinya; dan pencapaian tersebut menimbulkan keyakinan yang tinggi bagi mencapai kebahagiaan hidup. Wanita yang berpendidikan tinggi lebih cenderung mempamerkan mutu kerja berpasukan di dalam sesebuah organisasi.
c) Hubungan Yang Sihat Dan Positif Dengan Keluarga
Wanita yang bekerja cenderung mempunyai ruang lingkup yang lebih luas dan beragam, sehingga cenderung memiliki pola fikir yang lebih terbuka, lebih bertenaga, mempunyai wawasan yang luas dan lebih dinamik. Oleh hal yang demikian itu, kewujudan isteri berupaya menjadi ‘partner’ bagi suami untuk menjadi teman bertukar-tukar fikiran, saling berkongsi cita-cita dan harapan, pandangan dan tanggungjawab.
d) Memenuhi Keperluan Sosial
Setiap manusia, termasuk para ibu, mempunyai keperluan untuk menjalin hubungan sosial dengan orang lain. Dengan bekerja, seseorang wanita juga dapat memenuhi keperluan dalam suasana ‘kebersamaan’ dan untuk menjadi sebahagian daripada suatu kelompok atau komuniti. Walau bagaimanapun, sosialisasi adalah penting bagi setiap orang untuk mempunyai wawasan dan cara berfikir yang luas, untuk meningkatkan ‘kepekaan sosial’ dan yang terpenting, untuk dapat menjadi tempat curahan rasa secara positif daripada berbagai-bagai masalah yang menimbulkan “stress” sama ada masalah yang sedang dialami dengan suami, anak-anak mahupun dalam pekerjaan. Dengan sejenak bertemu rakan-rakan, mereka dapat saling berkongsi cerita dan masalah, juga bertukar-tukar fikiran.
e) Peningkatan ‘Skill’ Dan Persaingan
Dengan bekerja, seseorang wanita dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan, baik tuntutan tanggungjawab mahupun tuntutan persaingan. Oleh hal yang demikian itu, seseorang wanita dituntut untuk berfikir dan bertindak secara kreatif, mencari aspek-aspek yang boleh dikembangkan demi kemajuan dirinya. Peningkatan ‘skill’ atau kemahiran dan persaingan yang berterusan akan mendatangkan ‘nilai tambah’ atau value add pada dirinya sebagai seorang pekerja, selain rasa percaya dan keyakinan diri yang mantap.
5.0 Dilema Wanita Berkerjaya
Menurut kajian oleh YADIM, faktor-faktor yang biasanya menyumbang kepada permasalahan dilemma bagi wanita yang berkerjaya terdiri daripada faktor dalaman dan faktor luaran. Perinciannya adalah seperti berikut[18]:
a) Faktor Dalaman
Apa yang dimaksudkan dengan faktor dalaman ialah persoalan yang timbul dari dalam diri ibu itu sendiri. Ada di antara para ibu yang lebih senang jika dia benar-benar hanya menjadi suri rumah tangga yang sehari-hari duduk di rumah dan mengatur dan menjaga rumah tangga semata-mata. Bagaimanapun, keadaan telah menuntutnya untuk bekerja, demi membantu menyokong sumber kewangan keluarga. Keadaan tersebut mudah menimbulkan “stress” kerana bekerja bukanlah timbul daripada keinginan diri, seolah-olah tidak punya pilihan lain demi membantu ekonomi rumah tangga. Biasanya, para ibu yang mengalami masalah sedemikian, cenderung merasa amat letih (terutama secara psikologi), kerana sehari-harian ‘memaksa diri’ untuk bertahan di tempat kerja. Selain itu, terdapat juga tekanan yang timbul akibat daripada pelaksanaan ‘peranan berganda’ (sebagai wanita berkerjaya, juga sebagai suri rumah) itu sendiri. Memang, kemampuan ‘pengurusan waktu dan rumah tangga’ merupakan salah satu kesukaran yang sering dihadapi oleh para ibu bekerja. Mereka perlu memainkan peranan sebaik mungkin, baik di tempat kerja mahupun di rumah. Mereka sedar, mereka perlu menjadi ibu yang sabar dan bijaksana bagi anak-anak serta menjadi isteri yang baik bagi suami serta menjadi suri rumah tangga yang bertanggungjawab terhadap keperluan dan urusan rumah tangga. Di tempat kerja, mereka juga mempunyai komitmen dan tanggungjawab terhadap pekerjaan yang telah diamanahkan kepada mereka sehingga mereka perlu menunjukkan prestasi kerja yang baik. Sementara itu, dari dalam diri mereka juga sudah ada keinginan ideal untuk berjaya melaksanakan kedua-dua peranan tersebut secara seimbang. [19]
Bagaimanapun, kenyataan ideal tersebut cukup sukar untuk dicapai disebabkan beberapa faktor, misalnya pekerjaan di pejabat sangat berat, sedangkan suami ketika di rumah kurang memberikan ‘kerjasama’ untuk sama-sama menyelesaikan tugas atau kerja rumah, manakala anak-anak juga turut menuntut perhatian. Akhirnya, si ibu tersebut akan merasa amat letih kerana berasa dituntut untuk terus memberi dan memenuhi keperluan orang lain. Jika ternyata suami dan anak-anak merasa ‘kurang mendapat perhatian’, tidak hairanlah jika lama kelamaan dirinya mulai ‘diserang’ rasa bersalah, kerana merasa tidak dapat membahagiakan keluarganya. [20]
b) Faktor Luaran
Namun begitu, terdapat juga beberapa faktor luaran yang menyumbang kepada dilemma wanita yang bekerja iaitu:
i. Sokongan Suami
Sokongan suami dapat diterjemahkan sebagai sikap penuh pengertian yang ditunjukkan dalam bentuk kerjasama yang positif, turut membantu menyelesaikan tugas rumah tangga, membantu mengurus anak-anak serta memberi sokongan moral terhadap kerjaya atau pekerjaan isterinya. Di negara jiran, Indonesia contohnya, sikap ‘outoritarian’ yang sangat kuat di pihak suami, turut menjadi faktor yang membebani peranan ibu bekerja, kerana masih terdapat pemahaman bahawa lelaki tidak boleh melakukan pekerjaan wanita, apatah lagi dalam hal mengurus rumah tangga. Menurut mereka, masalah rumah tangga adalah kewajiban sepenuhnya seorang isteri. Masalah yang kemudian timbul daripada isteri bekerja, sepenuhnya merupakan kesalahan daripada isteri dan untuk itu dia harus bertanggungjawab menyelesaikannya sendiri. Keadaan tersebut akan menjadi sumber tekanan yang berat bagi isteri, sehingga dia juga akan sukar merasakan kepuasan dalam bekerja.
Kurangnya sokongan suami membuatkan peranan si ibu di rumah juga tidak secara optimum (kerana terlalu banyak yang perlu dilakukan, sementara dirinya juga merasa letih sesudah bekerja) akibatnya, timbul rasa bersalah kerana berasa diri bukan ibu dan isteri yang baik.
ii. Kehadiran Anak
Masalah pengasuhan anak biasanya dialami oleh para ibu bekerja yang mempunyai anak kecil. Semakin kecil usia anak, maka semakin besar tahap “stress” yang dirasakannya. Rasa bersalah kerana meninggalkan anak untuk seharian di tempat kerja merupakan persoalan yang sering dipendam oleh para ibu yang bekerja. Lebih-lebih lagi jika pengasuh yang ada tidak dapat dipercayai sepenuhnya, sementara tidak ada ahli keluarga lain yang dapat membantu.
Dalam institusi kekeluargaan, wanita lazimnya akan berusaha untuk melaksankan peranan-peranannya sebagai isteri dan ibu bagi mempertahankan integrasi dan kelangsungan kekeluargaan. Ada di antara wanita-wanita yang bekerja yang tidak dapat memainkan peranan-peranan ini dengan baik. Besar kemungkinan mereka menghadapi “strain” atau gangguan psikologi, mental dan emosi apabila mereka cuba menggabungkan peranan-peranan tradisional mereka sebagai isteri dan ibu dengan peranan baru mereka sebagai pekerja. [21]
iii. Masalah Di Tempat Kerja
Pekerjaan boleh menjadi sumber ketegangan dan “stress” bagi para ibu bekerja. Mulai daripada peraturan kerja yang ‘kaku’, bos yang tidak bijaksana, beban kerja yang berat, ketidakadilan yang dirasakan di tempat kerja, rakan-rakan yang sukar bekerjasama, waktu kerja yang sangat panjang, ataupun ketidakselesaan psikologi yang dialami akibat daripada masalah ‘sosial-politik’ di tempat kerja. Keadaan sedemikian akan membuatkan si ibu menjadi amat letih, manakala kehadirannya amat ‘dinantikan’ oleh keluarga di rumah. Keletihan psikologi dan fizikal itulah yang sering membuat mereka sensitif dan emosional, baik terhadap anak-anak mahupun terhadap suami.
Keadaan ini biasanya menjadi semakin meruncing apabila suasana di rumah kurang kondusif dalam erti kata, suami (terutamanya) dan anak-anak (yang sudah besar) kurang memberikan kerjasama untuk menjadi pembantu membantu si ibu, atau sekadar meringankan kerja-kerja di rumah.[22]
iv. Faktor Hubungan
Dengan bekerjanya suami dan isteri, maka secara automatik waktu (masa) untuk keluarga menjadi singkat atau pendek. Memang tidak dapat dinafikan bebanan terhadap kerja-kerja di rumah dapat diselesaikan dengan menggunakan khidmat pengasuh serta pembantu rumah. Bagaimanapun, terdapat perkara-perkara yang sukar dicari jalan penyelesaian seperti masalah bersama suami, juga anak-anak. Padahal, ‘kebersamaan’ bersama suami dalam suasana santai dan ‘hangat’ merupakan elemen penting yang tidak boleh diabaikan demi untuk membina, mempertahankan, dan menjaga keakraban hubungan serta keterbukaan komunikasi antara satu dengan yang lain.
Kekerapan kurangnya masa berkualiti untuk keluarga membuatkan seseorang ibu merasa dirinya tidak dapat berbicara secara terbuka dengan suaminya, bertukar fikiran, mencurahkan perasaan, atau merasa suaminya tidak lagi memahami akan dirinya, dan akhirnya merasa asing dengan pasangan sendiri sehingga rela mengikut ‘bisikan syaitan dan hawa nafsu’ – mula mencari alternatif bercakap dengan orang lain yang dianggap lebih mengerti, dan sebagainya untuk meluahkan perasaan. Secara tidak langsung, tindakan sebegini akan membawa selangkah kaki mereka ke pintu maksiat dan kemurkaan Allah.[23]
6.0 Transformasi Diri: Lapan Prinsip Wanita Berkerjaya Menurut Perspektif Islam
Di dalam bab ini penulis akan mencadangkan beberapa langkah bagaimana kaum wanita yang berkerjaya boleh mengatasi konflik ataupun bebanan tanggungjawab domestik sebagai seorang isteri dan ibu serta tanggungjawab sebagai pekerja di organisasi. Adalah sukar bagi seseorang wanita yang telah berumahtangga untuk mencapai keseimbangan dalam dwi-peranan mereka dalam pembahagian tugas domestik seperti memasak, mengurus rumahtangga di masa yang sama menuntut mereka menyumbangkan tenaga dan fikiran dalam bidang kerjaya masing-masing. Untuk itu, penulis telah mendapatkan beberapa pandangan dan idea daripada Ustaz Mohamad bin Abdullah Al-Amin (iaitu salah seorang panel TV9 program “Tanyalah Ustaz”, tentang bagaimana seseorang wanita yang berkerjaya lebih-lebih lagi bagi wanita yang sudah berumah tanga dapat mentransformasikan diri mereka daripada masalah kepada situasi yang lebih positif dan produktif dari perspektif Islam. Berikut adalah 8 prinsip wanita berkerjaya menurut perspektif Islam:
a) Prinsip 1: Kenali Bentuk Pekerjaan
Bagi setiap wanita yang ingin berkerjaya, adalah dicadangkan agar membuat penilaian (assessment) dan mengenali bentuk pekerjaan. Wanita Islam adalah disarankan melihat bentuk-bentuk pekerjaan tersebut daripada aspek keharusan dari segi syarak dan undang-undang negara. Jika kaum wanita memahami dan mengenali bentuk dan jenis-jenis pekerjaan yang sah disisi syarak dan undang-undang negara, maka ianya akan mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan sendikit dadah (pengedar dadah), perjudian, dan pelacuran.
b) Prinsip 2: Kenali Peringkat Pekerjaan
Wanita Islam yang ingin berkerjaya juga adalah disarankan untuk mengenali peringkat pekerjaan sebelum membuat keputusan untuk berkerjaya. Antara peringkat pekerjaan tersebut ialah:
i. Untuk Diri Sendiri
Pada kebiasaannya jika wanita yang bekerja untuk diri sendiri adalah untuk menyara dirinya sahaja. Dengan mempunyai pekerjaan akan dapat menggelakkan diri daripada meminta-minta daripada keluarga dan ianya juga dapat membina sifat berdikari. Kesannya pada negara pula ialah mengurangkan kadar penganguran negara.
ii. Untuk Keluarga
Ramai wanita yang sudah berumahtannga memilih untuk terus berkhidmat atas pelbagai alasan antaranya ialah membangunkan ekonomi keluarga. Ianya dapat meningkatkan pendapat isi rumah (household income), membasmi kemiskinan dan juga meningkatkan ekonomi negara (daripada aspek cukai pendapatan individu).
iii. Untuk Masyarakat
Pembangunan sesebuah negara itu bukanlah hanya semata-mata merujuk pada pembangunan ekonomi tetapi meliputi pembangunan dari segi sosial, sahsiah, dan masyarakat. Jelas, apabila kita membicarakan soal tanggungjawab wanita yang berkerjaya, ianya juga bukan sekadar mendapatkan gaji untuk dibawa pulang, malahan penglibatan kaum wanita juga harus dilihat juga dalam aspek sosial dalam pembangunan negara. Sebagai contoh bagi wanita yang bertugas sebagai pakar sakit puan, guru, anggota polis, jururawat dan sebagainya adalah merupakan perkhidmatan yang disumbangkan untuk masyarakat. Pekerjaan sebagai seorang guru misalnya berperanan sebagai pendidik dan juga berperanan sebagai ibu bapa murid-murid di sekolah.
Penglibatan wanita secara aktif di dalam pertubuhan “Non Government Organisation” (NGO) juga kian memberangsangkan. Antara NGO yang terdapat penyertaan wanita ialah seperti Islam Relief Malaysia (IRM) dan Aqsa Syarif Berhad yang terlibat aktif di dalam misi kemanusian seperti membantu rakyat Palestin dan golongan yang tidak berkemampuan di dalam dan luar negara. Kedua-dua pertubuhan ini dengan secara aktif mengumpul dana bagi membantu golongan yang tidak berupaya di dalam misi kemanusian mereka.
iv. Untuk Negara
Penyertaan wanita di dalam perkhidmatan keselamatan awam dan perubatan juga adalah memberangsangkan dewasa ini. Terdapat kaum wanita yang bekerja sebagai jururawat dan doktor perubatan untuk misi bantuan dan menyelamat mewakili negara ketika peristiwa Tsunami di Acheh pada 26 Disember 2004 dan di Jepun pada 11 Mar 2011. Penyertaan mereka di dalam misi kemanusiaan ini telah mengharumkan nama Malaysia sebagai sebuah negara sahabat yang sentiasa membantu negara jiran yang sedang ditimpa mussibah bencana alam.
v. Untuk Ummah
Keistimewaan wanita berdakwah juga terserlah atas kapasiti mempunyai sifat-sifat keperibadian, kejiwaan dan perasaan yang lebih mampu difahami oleh wanita sendiri. Selain itu, sesetengah bidang yang didominasi oleh kaum wanita juga menuntut kepada kehadiran pendakwah wanita. Pendakwah wanita bukan sahaja menjadi role model, malah sumbangan mereka dalam menjana kemajuan ummah dapat membantu mencorakkan pembangunan masyarakat Islam. Pengaruh dan peranan pendakwah wanita sejak dahulu lagi tidak dinafikan telah mempengaruhi perjalanan sejarah yang akhirnya mencorakkan keadaan sesebuah negara.
Melalui dakwah, kaum wanita menjalankan aktivitinya dalam kehidupan masyarakat Islam serta bertindak sebagai satu komponen penting dalam sistem dan tamadun serta memperkayakan sudut-sudut amali bagi tamadun Islam. Wanita berdakwah telah berlaku sejak masyarakat Islam terawal. Contoh yang praktikal mengenai peranan wanita di dalam dakwah ialah Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah yang telah menjadikan rumahnya tempat tumpuan kaum lelaki di dalam menimba ilmu. Dalam medan berdakwahnya, beliau begitu terkenal kerana keaktifannya di dalam berdakwah menyampaikan ajaran Islam di kalangan pelbagai qabilah pada zaman Nabi SAW. Semangat dakwah beliau tidak pernah luntur walaupun pernah diseksa dan dipenjarakan.[24]
c) Prinsip 3: Mencari Keredhaan
Islam sangat menitik beratkan keharmonian di dalam kehidupan umatnya. Adalah disarankan kepada kaum wanita yang berkerjaya agar sentiasa meletakkan Allah SWT sebagai sendi segala aktiviti di dalam kehidupan. Itulah kemuncak perjuangan di dalam kehidupan insan. Bagi sesorang isteri, keredhaan suami merupakan syarat bagi mendapat keredhaan Allah SWT. Oleh itu isteri perlulah mendahulukan keredhaan suami. Dan bagi suami pula perlu mendahulukan keredhaan Allah SWT.[25]
d) Prinsip 4: Kenali Kemampuan Diri
Secara biologinya, wanita itu adalah lebih lemah fizikalnya berbanding lelaki. “Stress” di tempat kerja boleh menggangu emosi bagi wanita yang berkerjaya. Persekitaran di pejabat yang tidak kondusif juga boleh mempengaruhi emosi wanita. Contohnya hubungan dengan rakan sekerja, bebanan tugas yang semakin bertambah dan sebagainya. Apabila pulang ke rumah, badan sudah menjadi terlalu letih. Namun tugas di rumah harus juga di buat umpamanya memasak, menyemak buku-buku sekolah anak-anak dan melayan suami. Apabila mengalami masalah seperti ini, wanita terbabit perlu berbincang dengan suami untuk bersama berkongsi tugas di rumah. Jika kita terus melakukan tugas di rumah dengan tidak mempunyai kemampuan diri, maka akan wujudnya perasaan suka mengungkit-ungkit[26]. Ini sesuai dengan hadith Nabi Muhammad SAW:
“Tiga perkara orang yang Allah tidak akan berbicara dengan mereka pada hari kiamat iaitu orang yang melabuhkan kainnya kerana sombong, orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya, dan orang yang bersumpah palsu”[27]
e) Prinsip 5: Kenali “Qurratul Ain” Pasangan
Bagi isteri yang berkerjaya disarankan untuk mengenali “qurratul ain” atau penyejuk mata pasangannya. Apakah hobi suami, makanan yang disukai oleh suami dan “soft-point” suami. Prinsip ini adalah mestilah berlandaskan "mutual understanding" dan atas rasa ihsan dan rasa timbal-balik di antara pasangan suami isteri. Suami juga dituntut untuk turut sama mengenali "qurratul ain" isteri. Ini adalah untuk memastikan keharmonian rumahtangga terjaga. Kegagalan untuk mengetahui dan mengenal kesukaan suami atau isteri akan boleh meretakkan keintiman hubungan suami isteri. Manaafat daripada mengenali “qurratul ain” pasangan akan memudahkan pasangan suami isteri untuk berkomunikasi dan mudah memahami hasrat pasangan. Firman Allah SWT :
Maksudnya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.[28]
Inilah doa yang diajarkan kepada kita agar memohon kepada Allah SWT setiap selepas solat agar mendapat “qurratul ain”, tetapi kita juga mesti berusaha untuk mendapatkan kebahagian. Kalau kita suami, usahakan agar kita disayangi isteri. Kalau kita isteri, usahakan agar kita disayangi suami. Kalau kita guru sekolah, usahakan agar disayangi murid-murid. Kalau kita sebagai pemimpin, wajib usahakan agar orang yang kita pimpin kasih kepada kita. Bila ada usaha dari setiap pihak untuk mengisi keperluan fitrah masing-masing secara dua hala, maka semua pihak akan mengecapi kesenangan dan ketenangan hidup. Dari perasaan itu akan terbit pula rasa bersamaan dan sikap bekerjasama. [29]
f) Prinsip 6: Jaga Kesetaraan (kufu)
Prinsip kesetaraan atau sekufu juga adalah penting dalam menangani masalah pertindihan bebanan tugas sebagai isteri dan pekerja. Walaupun konsep sekufu adalah penting sebelum mendirikan perkahwinan, namun kesetaraan ini perlulah dijaga selepas berumahtangga. Terdapat ramai pasangan yang sekufu akhirnya bercerai kerana tidak ada persefahaman yang dibina selepas mendirikan rumahtangga. Kita merasakan bahawa suami dan isteri sama-sama lepasan universiti. Namun apabila mereka memasuki alam pekerjaan, mereka sebenarnya sudah tidak sekufu lagi, lebih-lebih lagi bentuk kerjaya kedua-dua pasangan itu adalah berbeza. Contohnya suami bertugas sebagai guru, tetapi isteri ialah seorang pegawai korporat. Kedua-dua pasangan harus secara bersama untuk memperbaiki diri dalam semua aspek terutamanya dalam aspek komunikasi. Adalah disarankan isteri mengajak suami masuk ke dunia korporatnya dengan menghadiri majlis makan malam (annual dinner), hari keluarga (family day) dan sebagainya. [30]
g) Prinsip 7: Belajar Mengendali Emosi
Sebagai ibu yang normal kita juga tidak terlepas dari memarahi anak dan suami, tidak mampu mengawal emosi akan memberi tindakbalas yang salah. Emosi sukar dibendung tapi emosi boleh dikawal. Antara tips yang boleh dipraktikkan untuk mengawal perasaan marah ialah:
i. Diam
ii. Lari dari punca kemarahan
iii. Tarik nafas dalam-dalam, tahan dan lepaskan perlahan-lahan, sambil beristighfar
h) Prinsip 8: Realisasikan Prinsip “Rumahku, Syurgaku”.
Kebanyakkan kita pernah mendengar ungkapan Bahasa Arab بَيْتِيْ جَنَّتِيْ iaitu yang membawa maksud rumahku syurgaku. Untuk memupuk rumahtangga yang bahagia, kedua-dua pasangan suami isteri adalah digalakkan untuk merealisasikan prinsip rumahku syurgaku. Semua orang mendambakan rumah yang aman damai ibarat syurga tanpa gangguan dan ketakutan. Segala kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan, suka dan ceria terangkum dalamnya. Hal ini digambarkan dalam sebuah harapan, 'Rumahku Syurgaku'.
Syurga tidak disediakan Allah untuk syaitan, tetapi disediakan untuk orang beriman, yang sentiasa menyucikan dirinya dan membersihkan jiwanya dengan taat kepada Allah. Antaranya ciri-ciri syurga dalam rumahtangga terdiri daripada 2 kategori iaitu:
i. Ciri-ciri Rumah Di Syurga:
§ Rumahtangga yang bersih adalah antara ciri-ciri keadaan di dalam syurga.
§ Wangi dan harum.
§ Besar, luas dan selesa untuk seisi keluarga dan sesuai dengan bilangan ahli keluarga
§ Terdapat pokok-pokok. Digalakkan pasangan yang mendirikan rumahtangga menanam pokok untuk merimbunkan rumah disamping sebagai perhiasan, ianya juga boleh dijadikan sebagai aktiviti bersama pasangan suami isteri seperti berkebun dan membaja. Rumah yang indah akan menerbitkan rasa selesa dan nyaman untuk kita tinggal di dalamnya.
ii. Ciri-ciri Akhlak Ahli Syurga:
§ Rumah yang penghuninya sentiasa bersikap benar, jujur dan memenuhi janji.
§ Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga punca pemakanan dan hanya mengambil yang halal saja. Makanan halal dari segi penyediaannya menurut syariat, tidak diambil daripada harta anak yatim, bukan hasil rampasan, penganiayaan, penipuan, bukan hasil rasuah dan bukan hasil riba.
§ Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan tali silaturahim. Rumah yang dipenuhi kecintaan, kasih sayang, kelembutan, tolak ansur, sabar, menjaga silaturahim. Menghubungkan silaturahim hukumnya wajib dan mendapat pahala. Manakala memutuskannya haram dan berdosa.
§ Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan berbakti kepada kedua orang tuanya. Mereka menyayangi kedua ibu bapanya, tidak derhaka kepada keduanya, menghormati keduanya, mendengar nasihat mereka dan bermesyuarat dalam sebarang keputusan yang akan diambil. Apabila ibu bapa sudah tua, berikan perhatian terhadap diri dan emosi, kesihatan, kewangan dan apa juga keperluan mereka.
§ Rumah yang penghuninya terdiri daripada pasangan yang salih dan salihah, pencinta Al-Quran dan Sunnah, saling faham memahami, bekerjasama serta bertolak ansur.
§ Rumah yang penghuninya melaksanakan hak dan kewajipannya. Suami dan isteri melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak masing masing. Bukan suami curang dan isteri derhaka.
7.0 Kesimpulan
Wanita hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kemahiran pekerjaan kepimpinan dan sebagainya. Keadaan wanita boleh dibanggakan berbanding lebih lima puluh tahun dahulu. Kita harus membetulkan tanggapan masyarakat hari ini yang meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan. Ini adalah kerana tuntutan untuk memperkemaskan generasi dan ummah yang akan datang tidak lagi hanya dibebani pada bahu lelaki tetapi sebaliknya memerlukan sokongan dan dokongan wanita. Apabila kita mengatakan wanita itu amat penting dalam masyarakat dan negara ia boleh ditafsirkan sebagai melengkapi antara satu sama lain. Memang kita akui wanita sendiri kadangkala tidak dapat melakukan sesuatu kerja sepertimana lelaki namun dalam sesetengah keadaan golongan lelaki juga tidak boleh melakukan sesuatu kerja yang boleh dilakukan oleh wanita. Justeru itu kita harus ingat bahawa tanggapan ini harus dibuat secara positif dan rational. Kita tidak harus meletak wanita sebagai golongan lemah kerana mereka juga berkemampuan dan berkredibiliti. Wanita sebagai isteri, ibu dan tidak kurang juga sebagai pemimpin.
Maka wanita harus mengubah paradigma untuk melihat bahawa mereka juga mampu bersama-sama setaraf dengan lelaki dalam semua keadaan. Dalam Islam ketokohan saidatina Khadijah sebagai tokoh korporat dan ahli perniagaan yang berjaya menjadi inspirasi wanita dan lelaki. Tidak kurang juga ketokohan Aisyah sebagai seorang ilmuan dan pakar rujuk kepada sahabat dan keluarga Baginda Rasul SAW telah membuktikan bahawa Islam meletakkan wanita pada tempat yang tinggi. Peranan mendidik generasi serta kerjasama semua pihak samada dalam keluarga, tempat kerja, jiran tetangga dan masyarakat setempat perlu diperhebat untuk menjadikan wanita kepada penyumbang pembangunan negara.
Rujukan:
Buku Rujukan:
1. Al-Quran dan Terjemahan
2. Ahmad Khalil Jumuah (Penterjermah Ustaz Johari Yaman), Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah, Nadi Minda Resourses, Selangor, 2010
3. Fadhilah A. Alim & Muhammad A. Shahbudin, Konsep Pembentukan Wanita, Isteri & Ibu Solehah, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Johor Bahru, 1998
4. Fatimah Abdullah, Wanita Dan Pekerjaan: Satu Analisis Konflik Peranan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1982/83, Akademika, No. 27 Julai 1985
5. Fauwaz Fadhil Noor, Wanita Muslimah, As-Sohwah Enterprise, Selangor, 2011
6. Habsah Md. Nor, 1001 Wasiat Wanita Solehah, Darul Nukman, Kuala Lumpur, 2000
7. Laporan Ekonomi Malaysia 2011/2012, Kementerian Kewangan Malaysia
8. Majdi As-Sayyid Ibrahim, 50 Wasiat Rasulullah SAW Untuk Wanita, Pustaka Syuhada, Kuala Lumpur, 2010
Keratan Akhbar
Jami’ah Shukri, Negara rugi profesional akibat tekanan antara tugas suri rumah dan kerja, Berita Harian, 26hb Julai 2012, (http://www.bharian.com.my/articles/Dilemawanitakerjaya/Article/)
[1] Sumber dipetik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia
[2] Ibid
[3] Fatimah Abdullah, Wanita Dan Pekerjaan: Satu Analisis Konflik Peranan, Universiti Kebanggsaan Malaysia, 1982/83, hlm 77
[4] Laporan Ekonomi Malaysia 2011/2012, hlm 16
[5] Ibid
[6] Surah Al-Ahzab 33:35
[7] Riyadhus Shalihin (bab 23), hlm 239
[8] Surah At-Taubah 9:71
[9] Surah An-Nuur 24: 34
[10] Surah At-Tahriim 66:10
[11] Surah At-Tahriim 66: 11
[12] Kitab Tahrir Al Mar ah Fi ‘asri Al-Risalah Siri 2, hlm 30
[13] Butir terperinci berkenaan dengan perihal alam perkahwinan di antara Saiditina Khadijah r.a dan Nabi Muhammad juga boleh dirujuk di dalam buku Wanita Muslimah tulisan Ustaz Fauwaz Fadhil Noor, hlm 7-8
[14] Kisah lanjut berkenaan dengan Ummu Sulaim boleh dirujuk dalam Kitab Tahrirul Mar’ah, hlm 31
[15] Abu Talhah adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang kaya status ekonominya
[16] Fauwaz Fadhil Noor, Wanita Muslimah, hlm 10
[17] Dilema Wanita (Ibu Bekerja), Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia
[18] Ibid
[19] Dilema Wanita (Ibu Bekerja), Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia
[20] Ibid
[21] Fatimah Abdullah, Wanita Dan Pekerjaan: Satu Analisis Konflik Peranan, Universiti Kebanggsaan Malaysia, 1982/83, hlm 81
[22] Jami’ah Shukri, Negara rugi profesional akibat tekanan antara tugas suri rumah dan kerja, Berita Harian, 26hb Julai 2012
[23] Habsah Md. Nor, 1001 Wasiat Wanita Solehah, hlm 59
[24] Ahmad Khalil Jumuah, Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah, hlm 331
[25] Habsah Md. Nor, 1001 Wasiat Wanita Solehah, hlm 45
[26] Ibid, hlm 179
[27] Hadith Riwayat Muslim
[28] Al-Furqan 25: 74
[29] Fadhilal A. Alim & Muhammad A. Shahbudin, Konsep Pembentukan Wanita, Isteri& Ibu Solehah, hlm 8
[30] Fatimah Abdullah, Wanita Dan Pekerjaan: Satu Analisis Konflik Peranan, hlm 83
No comments:
Post a Comment