Sunday, 27 April 2014

UMKI Nostalgia

http://muhdkamil.org/u-mki/2014/04/27/nolstagia/

Pengalaman pertama kali berada di kedua Tanah Suci tetap terakam nun jauh di sudut hati. Ia mungkin sebagai jemaah umrah ataupun ketika menunaikan fardhu haji. Banyak rahsia diri. Kami fikir ia turut dirasai oleh hampir semua jemaah yang mahu menyerahkan dirinya kepada Allah SWT. Kami juga begitu. Sungguh, ia berbekas di hati.
 
Pada ketika ini kami merenung kembali saat-saat ketika Allah membuka pintu hati untuk menunaikan fardhu haji. Kami benar-benar berada dalam ketakutan yang amat sangat walaupun semangat dan keinginan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima benar-benar menggila. Hampir sepanjang masa kami dapat membayangkan Kaabah, Hijir Ismail, hajarul Aswad, Masjid Nabi. Kami seolah-olah hati dan perasaan sudah berada di sana.
 
Namun – itulah – ia berselang seli dengan rasa kecut perut umpama mereka yang berada di bangunan yang sangat tinggi dengan mata memandang ke bawah. Terasa-rasa mahu melompat tetapi tiada upaya. Perasaan “butterflies in my stomach”.
 
Banyak perkara yang melintas di hati. Mahukah Allah menerima kami? Apakah kami akan dibalas tunai dalam setiap kesilapan dan kealpaan kami? Bagaimana sekiranya kami diuji dengan ujian yang tidak tertanggung dek kami?
 
Malah, kami terfikir-fikir bagaimana agaknya perasaan kami jika gagal melihat kaabah kali pertama. Tentu juga kami melayankan perasaan tidak keruan memikirkan pelbagai masalah yang diceritakan orang yang telah kembali daripada melaksanakan ibadah haji. Tandas di Mina, sesat di Arafah, gagal bermalam di Mudzalifah, bilik bersesak-sesak, dilanda masalah kesihatan dan pelbagai isu yang kelihatan lumrah bagi jemaah haji.
 
Lalu kami menyerah diri memohon keampunan di atas dosa-dosa lalu, mengharapkan kasih sayang dan belas kasihannya supaya kami dipermudahkan, diberi ilham, dan dibantu sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Itulah doa-doa yang telah kami pohon hampir setahun sebelum berangkat meninggalkan Malaysia.
 
Perasaan takut dan rendah diri untuk mengadapnya sambil mengharapkan kasih sayangnya benar-benar membentuk tingkah laku yang sangat berbeza sepanjang perjalanan kerohanian ini. Kami kurang bercakap, mata sentiasa menunduk bumi, bibir dan hati sentiasa memohon-mohon dan mengulang-ngulang perkara yang dipohon semasa di Malaysia.
 
“Ya Allah, ampunilah kami. Ya Allah permudahkanlah kami.
 
Ya Allah kami banyak dosa ya Allah. Terimalah kami, ampunilah kami. Ya Allah jika kami pernah berlaku syirik, pernah menduakanmu, kau ampunilah kami. Kami tidak pernah berniat begitu ya Allah. Jika ia berlaku adalah kerana kebodohan dan kejahilan kami ya Allah.
 
Rabbi yasiir, Wala Tuaasir, Rabbi yasiir, Wala Tuaasir, Rabbi yasiir, Wala Tuaasir, Rabbi yasiir, Wala Tuaasir”
 
Hari-hari yang dilalui sepanjang 46 hari di Mekah dan Madinah berkisar kepada janji-janji kami sebelum berangkat. Kami mahu melakukan yang terbaik di sisinya. Kami mahu bangun awal berqiamullai di masjid, membaca al-quran dan terjemahan, berzikir, berdoa dan bermunajat. Mahu sentiasa bersolat dengan melihat fizikal Kaabah. Bercita-cita sekerap mungkin melakukan tawaf sunat.
 
Malah hampir setiap hari airmata sentiasa menitis. Pasti akan ada saat-saat di luar kawalan di mana secara tiba-tiba perasaan sebak dan sayu. Maka muncullah titis-titis halus menyebabkan pipi berlinangan dengan air payau yang memberikan rasa hati yang sangat luar biasa. Kalau tidak semasa solat sunat, ia mungkin berlaku ketika bertawaf atau semasa berdoa di Hijir Ismail atau di hadapan Multazam.
 
Alangkah anehnya apabila memikirkan bagaimana mungkin kami boleh mengalirkan airmata ketika imam membaca surah-surah ketika solat berjemaah. Kami langsung tidak memahami maknanya. Apatah lagi untuk mengetahui isi kandungannya sehingga menggetar jiwa dan perasaan.
 
Kami berfikir, alangkah ruginya kami tidak tahu berbahasa Arab. Jika mendengar bacaannya sudah boleh melembutkan hati yang kering-kusang apatah lagi jika setiap baris dan ayatnya dapat difahami. “Ya Allah, kami mohon keampunanmu ya Allah. Mudahkanlah kami untuk membaca terjemahan dan tafsir ayat-ayatmu ya Allah. Pancarkanlah nur kasih sayangmu kepada kami ya Allah”.
 
Hari berganti hari. 46 hari sentiasa berada dalam linangan air mata. Maka ketika saat-saat mahu meninggalkan Madinah merupakan ketika yang sangat syahdu. Sebak. Kami meninggalkan hotel penginapan dengan rasa luar biasa. Seolah-olah kehilangan kekasih buat selama-lamanya.
 
Perjalanan ringkas bandar Madinah – lapangan terbang sunyi sepi. Setiap jemaah hanya mendiamkan diri. Tidak kira siapa mereka, terpancar rasa sayu mahu meninggalkan Tanah Suci. Apa yang difikirkan tidak pula dapat kami telah. Buat kami, airmata yang mengalir adalah kerana benar-benar menginsafi betapa Allah itu maha berkuasa, penuh dengan kasih sayangnya dan sentiasa menerima taubat hambanya.
 
“Kekalkah kami dengan rasa yang sangat luar biasa ini apabila menjejak kaki di Malaysia?”
 
Tiba-tiba skrip bertukar 180 darjah. Suasana di Lapangan Terbang Madinah riuh rendah. Mereka yang tunduk sedih kelihatan bergema-gema bersuara. Ketawa berdekah-dekah. Ada yang bercerita tentang siapa yang akan menyambut mereka, makanan apa yang bakal terhidang dan sudah ada yang mula memotong barisan. Bukankah kapalterbang yang sama akan dinaiki?
 
Itulah rasa ria dalaman yang terkeluar tanpa sengaja, memantul jiwa dan perasaan sebenar. Ia kegembiraan melampau membawa implikasi kepada kerohanian manusia sebagaiman pesanan Allah SWT melalui surah Al-Hadiid, ayat 23 yang bermaksud,
 
“(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri”
 
Bertenanglah ketika berada di saat-saat mahu meninggalkan Tanah Suci sama ada Mekah atau Madinah. Bawalah perasaan ketenangan itu bersama ketika menaiki pesawat. Perjalanan panjang – selain berehat-rehat – setelah berhari-hari memberi fokus kepada amalan-amalan di Tanah Suci hendaklah diteruskan. Berzikirlah, sebutlah nama-nama Allah sepanjang masa.
 
Dan renunglah pertanyaan ini “apakah yang ingin aku lakukan apabila pulang ke Malaysia?”

No comments:

Post a Comment